top of page

Lampu berkelip, papan tanda keselamatan projek bina Lebuhraya Pan Borneo kena curi, rosak


Lampu berkelip, papan tanda keselamatan projek bina Lebuhraya Pan Borneo kena curi, rosak
Pemandangan udara sebahagian Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Serian, Sarawak - NSTP/FOTO HIASAN

Lampu berkelip, papan tanda keselamatan projek bina Lebuhraya Pan Borneo kena curi, rosak

SARIKEI: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini menasihatkan pemandu supaya mematuhi peraturan ketika menggunakan Lebuhraya Pan Borneo (LPB).


Ia berikutan beberapa siri aduan dan kecurian aksesori amaran keselamatan di tapak pembinaan sepanjang lebuh raya itu.


Beliau juga meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor projek LPB di negeri ini menggantikan penghadang plastik, lampu berkelip dan papan tanda keselamatan yang dicuri atau rosak serta meningkatkan pemantauan peralatan keselamatan sebaik sahaja ia diganti atau diperbaiki.


"Saya minta pasukan (pembinaan lebuh raya) mengkaji semua (isu) ini dan terus memantau keadaan, bukan hanya baiki dan melupakannya. Minta kerjasama pengguna lebuh raya supaya biarkan peralatan keselamatan ini," katanya.


Beliau yang meninjau Kontrak Pakej kerja 06 (WPC06) LPB dekat Jakar, di sini, hari ini, mengulas aduan mengenai kehilangan peralatan keselamatan, kemungkinan besar disebabkan oleh pemandu kenderaan yang mengalihkan penghadang untuk membuat pusingan U.


Pusingan U itu bagi mengelak daripada perlu menempuh jarak jauh untuk membuat pusingan P.


Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan beberapa kemalangan jalan raya di bahagian lebuh raya yang belum siap itu.


Aduan mengenai tahap keselamatan LPB dipersoalkan berikutan kemalangan di Kilometer 52 Jalan Sibu-Bintulu dekat Selangau pada 5 Jun lalu yang mengorbankan lima orang, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun selepas laluan bahagian Jakar dinaiki air selepas hujan lebat.


"Pemandu kenderaan perlu mematuhi papan tanda jalan dan had laju untuk memastikan keselamatan diri. JKR dan kontraktornya perlu mengambil serius aduan dan kebimbangan orang ramai, mencari penyelesaian dan membetulkan keadaan segera," katanya.


Sumber: Berita Harian


Lampu berkelip, papan tanda keselamatan projek bina Lebuhraya Pan Borneo kena curi, rosak

bottom of page