SARIKEI: Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak Datuk Julaihi Narawi mengingatkan pihak kontraktor Projek Lebuh Raya Pan Borneo untuk lebih berhati-hati melakukan kerja di tapak projek agar tidak berlaku paip pecah.
Julaihi turun padang bagi melihat sendiri isu paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan air khususnya di kawasan yang melibatkan pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Beliau melahirkan rasa kesal kerana isu ini baru sahaja dibangkitkan serta dibincangkan semasa taklimat Projek Bekalan Air Bahagian Sarikei dan Zon Tengah bersama-sama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan agensi berkaitan di Loji Rawatan Air Bayong.
“JBALB harus memantau kerja-kerja pembaikan paip utama yang pecah tersebut dan berharap ia dilakukan segera.
“Kejadian seperti ini sudah pasti merugikan kerajaan kerana jumlah air yang keluar memang cukup banyak selagi kerja-kerja pembaikan tidak dijalankan,” katanya semasa lawatan mengejut di lokasi paip utama pecah akibat kecuaian kerja-kerja projek Lebuh Raya Pan Borneo tidak jauh dari Loji Rawatan Air Bayong pada Selasa.
Difahamkan, berikutan kejadian paip utama ini pecah, keseluruhan kawasan Sarikei, Bintangor, Tanjung Manis dan sekitarnya mengalami gangguan bekalan air.
Sumber: Sarawak Voice
Kontraktor Pan Borneo perlu lebih berhati-hati – Julaihi
Коментарі