top of page

Laksana projek infrastruktur kecil usah sekadar tangkap muat


Laksana projek infrastruktur kecil usah sekadar tangkap muat
Gambar hiasan: Pemilihan kontraktor perlu utamakan golongan Bumiputera yang berintegriti, berdaya saing dan bebas ketirisan seiring prinsip Malaysia MADANI.

Laksana projek infrastruktur kecil usah sekadar tangkap muat

PENDEKATAN baharu kerajaan untuk memindahkan tugas melaksana projek infrastruktur bersaiz kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif daripada seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada jabatan lain boleh disifatkan sebagai transformasi tatakelola tadbir urus tepat pada masanya.


Kerajaan sudah pasti mengkaji pro dan kontra pendekatan baharu ini, terutama dari aspek pengeluaran tender, bagaimana dapat meminimumkan kerenah birokrasi dan ketirisan tetapi meningkatkan kecekapan dan pelaksanaan projek.


Sudah tentu pendekatan baharu ini juga menuntut perubahan pada prosedur operasi standard (SOP) seperti proses tender lebih pantas bagi membolehkan projek dimulakan, dilaksana dan disiapkan pada kadar segera, manakala pembayaran kepada kontraktor juga 'lebih laju' tanpa perlu menunggu masa berbulan-bulan.


Penurunan tugas kepada jabatan lain seperti pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diharap tidak menimbulkan masalah bertindan tugas antara jabatan atau agensi sehingga berlaku amalan 'tolak-menolak' kerja bagi mengelak memikul tanggungjawab terhadap pelaksanaan projek atau berlaku perkara luar jangka.


Di samping itu, tawaran tender bagi projek kecil ini juga perlu mengutamakan kontraktor memiliki rekod mantap melaksanakan projek, bukan sekadar 'tangkap muat' dipilih dalam kalangan syarikat kroni atau memiliki kepentingan peribadi atau politik.


Dasar tawaran tender terbuka untuk projek kecil ini juga tidak harus meminggirkan kontraktor Bumiputera. Pemilihan kontraktor perlu mengutamakan golongan Bumiputera yang berintegriti, berdaya saing dan bebas ketirisan seiring dengan prinsip Malaysia MADANI.


Namun, lebih menarik lagi jika rakyat berkelayakan turut dibenarkan memohon peruntukan bagi melaksanakan projek pembangunan dan infrastruktur kecil awam bagi mewujudkan peluang baharu ekonomi domestik.


Jika projek berkaitan dilaksanakan di kawasan FELDA atau pedalaman, lebih wajar kontraktor di kawasan terbabit diberi keutamaan sebagai langkah menyokong usaha memperkasa ekonomi generasi baharu FELDA.


Bermakna, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta MARA perlu dibabitkan dalam pelan pemindahan tugas berkenaan di samping agensi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Apa yang diharapkan, pemindahan tugas melaksana projek infrastruktur bersaiz kecil ini akan mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat tempatan, tidak menjadi projek 'ali baba' kepada warga asing, manakala spesifikasi kerja pula tetap mengikut kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR), bukan kerja cincai atau 'rumah siap, pahat berbunyi'.


Sumber: Berita Harian


Laksana projek infrastruktur kecil usah sekadar tangkap muat

Comments


bottom of page