top of page

Laksana dasar secara konsisten tanpa mengira era pemimpin


Laksana dasar secara konsisten tanpa mengira era pemimpin Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Laksana dasar secara konsisten tanpa mengira era pemimpin

Saya mengikuti hari pertama Sidang Parlimen membahaskan usul Undi Percaya Perdana Menteri. Daripada 13 pembahas, hanya Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga bekas Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berbahas secara tuntas peri pentingnya kestabilan politik untuk membolehkan ekonomi negara pulih dan dibugarkan kembali.


Bermula dengan memberi latar prestasi ekonomi sejak PRU14, antaranya peningkatan pendapatan malar, daya saing melemah, hutang negara meningkat, tiada daya menarik pelabur berkualiti dan penciptaan pekerjaan rendah, beliau mengakhiri perbahasan dengan amaran sekiranya kita kekal leka bermain politik, negara berkemungkinan terjerumus dalam prestasi ekonomi lebih buruk.


Beliau menggariskan tiga kriteria utama untuk ekonomi negara pulih dan kembali berdaya saing: kestabilan politik, kepatuhan tatakelola dan integriti serta kualiti kepemimpinan dan penggerak ekonomi negara. Inilah juga sering saya dengar daripada pelabur dalam dan luar negara.


Kestabilan politik memberi keyakinan kepada pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan. Saya yakin ini syarat nombor satu. Pelaburan, terutama pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) adalah keputusan jangka panjang.


Ketidakpastian dan ketidaktentuan polisi adalah racun daya saing negara. Amat malang, pengalaman membatal dan mengubah polisi serta hala tuju pembangunan negara mendadak, memahatkan rekod buruk negara.


Amat merisaukan apabila perubahan kerajaan dan kepemimpinan disusuli perubahan polisi serta hala tuju mendadak. Perancangan pembangunan negara mesti berdasarkan penilaian dan analisis keperluan serta impak profesional, sekali gus bebas campur tangan politik merugikan.


Keputusan kerajaan untuk kepentingan negara, bukan parti politik atau individu tertentu.


Contohnya, keputusan pergi-balik atau batal-sambung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) menjejaskan reputasi kerajaan dalam pembuatan keputusan pembangunan.


Malaysia perlu memastikan rekod buruk ini dipadam segera. Imej negara sebagai destinasi pelaburan perlu diberi perhatian khusus.


Sebarang perubahan dibuat teratur dan berdasarkan analisis mendalam serta mengambil kira kepentingan semua. Tiada pelabur sanggup berhadapan ketidaktentuan polisi. Usahkan pelabur luar negara tidak berminat, malah pelabur tempatan juga mula bertindak keluar.


Mungkin tiba masanya, kita hentikan amalan melaungkan slogan khusus berdasarkan era kepemimpinan. Dengan kekerapan perubahan kepemimpinan, bukan sahaja pelabur, rakyat turut keliru daripada Malaysia Boleh hingga Keluarga Malaysia.


Setiap slogan membawa pelbagai tafsiran, sekali gus ada implikasi terhadap hala tuju dan dasar negara. Perancangan jangka panjang tidak membawa makna jelas dalam mencorak pembangunan negara. Penubuhan kerajaan baharu pada 2018 membawa Wawasan


Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 hingga berjilid naskhah dicetak dan majlis pelancarannya bersifat mega, tetapi sejauh mana menjadi landasan perancangan pembangunan negara?


Saya yakin ramai sudah lupa inti patinya dan tidak lagi kedengaran di Putrajaya serta bukan lagi paksi perancangan pembangunan. Mengapa kita mengambil mudah hala tuju, dasar dan inisiatif hingga ia tumbuh tetapi mati.



Inisiatif perlu dilaksana secara sistematik

Realitinya, cara kita merancang dan melaksana pembangunan negara mesti berubah. Malaysia perlu meyakinkan semua bahawa negara kita dinamik, tetapi stabil yang disusuli hala tuju serta dasar stabil. Inisiatif dilaksanakan dengan sistematik dan konsisten, manakala kredibiliti keputusan kerajaan mesti diperkukuhkan.


Persaingan semakin sengit dengan landskap ekonomi global berubah dan semakin kompleks. Perancangan pembangunan memerlukan kerangka jelas, strategi berkesan dan tindakan pelaksanaan, pemantauan, pelaporan serta penyemakan teratur.


Keupayaan kerajaan daripada pemimpin kepada jentera perkhidmatan awam mesti ditingkatkan. Alasan saya baharu atau perlu masa belajar bukan lagi 'kemewahan' untuk pemimpin. Kepemimpinan abad ke-21 memerlukan pengetahuan mendalam, pengalaman khusus dalam pembuatan keputusan.


Hampir semua cabaran dihadapi Malaysia bukan baharu dan kita tidak mempunyai banyak masa untuk bertindak. Semua mengharapkan kerajaan memperoleh keabsahan ini akan segera mengambil tindakan berkesan.


Penyelesaian masalah dan cabaran ekonomi amat memerlukan perekonomian tepat. Punca permasalahan mesti difahami dengan betul untuk mengelakkan keputusan bukan sahaja tidak berkesan, bahkan merugikan dan memburukkan lagi.


Cabaran kenaikan kos sara hidup dihadapi kumpulan berpendapatan rendah adalah 'akibat-kesan' perancangan pembangunan tidak seimbang dan gagal memanfaatkan semua lapisan masyarakat.


Bagaimanapun, kita masih asyik menumpu kepada menjadikan harga lebih murah dan pemberian subsidi. Kita menyedari kartel menguasai rantaian pengeluaran beberapa keperluan asas rakyat, tetapi peliknya, kita berbincang dengan kartel untuk menyelesaikan masalah yang mereka cipta.


Subsidi bersasar sudah masuk kamus ekonomi negara lebih 10 tahun, tetapi belum direalisasikan. Punca kenaikan masih tidak dikenal pasti dan dipersetujui bersama.


Kenaikan kos sara hidup amat berkait pelbagai aspek ekonomi negara. Menteri Ekonomi mengutarakan agihan pendapatan majikan-pekerja tidak wajar. Hanya 38 peratus diagih untuk semua pekerja.


Hakikatnya daripada jumlah ini, hanya 16 peratus sampai kepada kumpulan 40 peratus terbawah (B40). Dengan kadar upah rendah dan malar, kuasa beli mereka jatuh dan kos sara hidup menekan. Beliau juga memaklumkan negara perlu bersedia mengubah paksi asas pengeluaran negara daripada sumber asli kepada pengetahuan-inovasi-kreativiti.


Kita sudah melancarkan Aspirasi Pelaburan Negara (NIA), tahun lalu. Malaysia perlu memastikan pelaburan sejajar matlamat utama pembangunan negara, iaitu kecanggihan pelaburan, penciptaan pekerjaan berkualiti dan mahir, pengukuhan jalinan pelaburan-usahawan tempatan, menyokong pembangunan industri strategik dan meningkatkan inklusiviti wilayah.


Kita juga melancarkan Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD) beberapa tahun lalu, menilai kesediaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengadaptasikan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).


Ahli Parlimen Titiwangsa juga memaklumkan penciptaan pekerjaan semakin rendah dan tidak mampu menyerap graduan kita lahirkan. Apatah lagi pekerjaan berkualiti dan memerlukan pekerja mahir. Pada masa sama, kita terus bermanja dengan lambakan pekerja asing tanpa kemahiran. Kadar pengangguran menurun, tetapi pengangguran belia dan tenaga kerja berijazah kekal tinggi.


Pasti kestabilan politik membuka jalan untuk kerajaan memberi penumpuan kepada cabaran ekonomi ini. Kualiti kepemimpinan dan keseluruhan jentera perkhidmatan awam antara ramuan utama membugarkan semula kecemerlangan ekonomi negara.


Penulis adalah Pengarah Institut Pembangunan danKemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) dan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Universiti Harvard


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH


Sumber: Berita Harian


2 views

Comments


bottom of page