top of page

Kurangkan beban kos pematuhan pemaju


Penyediaan kediaman menjadi antara tumpuan utama kerajaan terutama untuk golongan dalam kategori B40. Pelbagai inisiatif dirangka. Terbaru kerajaan melancarkan Dasar Perumahan Negara (DPN). Antara lain DPN menumpukan kepada usaha memastikan penawaran hartanah adalah menepati permintaan pasaran dan harganya munasabah dan bersesuaian dengan kemampuan pembeli.


Bercakap soal kediaman ini faktor bekalan mungkin tiada isu kerana di pasaran kini terdapat lambakan yang tidak terjual. Isu utamanya ialah dari segi harga. Walaupun ramai yang masih tidak memiliki kediaman sendiri tetapi majoriti yang dimajukan harganya adalah di luar kemampuan. Malah, jika melihat kepada hartanah kediaman ditawarkan harganya ada kalanya kelihatan agak tidak munasabah.


Tidak dinafikan peningkatan harga tanah dan bahan binaan menjadi antara punca peningkatan harga hartanah kediaman. Ini mungkin sukar dielakkan, tetapi bagi memastikan kos pembangunan sesuatu projek perumahan, terutama kategori mampu milik dapat dikurangkan, kerajaan mungkin boleh membantu dengan mengurangkan pelbagai kos pematuhan yang dikenakan kepada pemaju seperti seperti untuk penyediaan bekalan eletrik, air, pebentungan dan lain-lain.


Di pihak pemaju pula, mereka mungkin perlu melihat semula keperluan penyediaan pelbagai fasiliti ditawarkan dalam kawasan kediaman seperti kolam renang, gimnasium atau taman permainan mini yang dalam banyak kes jarang atau tidak digunakan oleh penghuni.

Benar kemudahan sebegitu menjadikan kediaman berkenaan kelihatan eksklusif, tetapi bagi kebanyakan rakyat apa yang dimahukan hanyalah kediaman selesa untuk keluarga pada harga yang tidak membebankan mereka.



Kaji apungan mingguan harga minyak

Isu kos sara hidup sering mengundang keresahan bukan sahaja bagi mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah atau B40, tetapi juga kategori pertengahan atau M40. Tidak hairanlah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mahukan isu itu diberi perhatian serius, untuk mengelak rakyat terus terbeban.


Bercakap soal kenaikan harga barang dan kos sara hidup ini, mahu tidak mahu tidak dapat dielakkan kaitannya dengan harga bahan api, petrol dan diesel. Kenaikan harga bahan api ini menjadi alasan paling mudah peniaga untuk memerah wang pengguna. Tetap yang peliknya, apabila harga bahan api turun, tidak pula peniaga menunrunkan harga barangan mereka.


Dalam hal ini mungkin wajar jika kaedah apungan mingguan yang diguna pakai ketika ini untuk menentukan harga bahan api dikaji kesesuaiannya. Bayangkan setiap minggu harga petrol berubah. Selain membolehkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga apabila harga bahan api naik, ia juga menyukarkan pengguna dan peniaga merancang perbelanjaan.


Tidak salah jika kembali kepada kaedah lama yang mana harga bahan ditetapkan untuk satu tempoh lama seperti dahulu. Melalui kaedah ini, rakyat pasti lebih mudah menguruskan perbelanjaan dan peniaga pula tidak boleh begitu kerap menggunakan alasan kenaikan harga bahan untuk menaikkan harga.


Sumber: Berita Harian


24 views
bottom of page