top of page

Kurang pekerja warga asing punca tapak binaan tidak beroperasi



KEKURANGAN pekerja warga asing antara punca menyebabkan sebahagian syarikat kontraktor tidak membuka operasi tapak pembinaan projek kendalian mereka.


Menurut CIDB, ada di antara pekerja warga asing pulang ke kampung halaman mereka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dapat kembali ke negara ini akibat sekatan yang dikenakan.


"Berdasarkan pemeriksaan dilakukan, kami dapati ada tapak projek tidak beroperasi kerana kekangan kekurangan pekerja memandangkan kebanyakan pekerja dalam industri pembinaan membabitkan warga asing.


"Selain itu, mereka turut berdepan kesulitan pengambilan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja warga asing dari segi menunggu giliran dan mendapatkan keputusan berkenaan.

"Pada masa sama, syarikat kontraktor juga memaklumkan mereka berdepan masalah kewangan kerana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa," katanya.


Pemeriksaan mendapati ada sebahagian tapak pembinaan yang beroperasi tidak mematuhi SOP termasuk kesalahan kecil seperti tidak menyediakan pensanitasi tangan. "Sebelum ini, kami menutup 19 tapak pembinaan yang tidak mematuhi SOP. Bagaimanapun, 17 daripadanya beroperasi semula selepas mengambil pendekatan mematuhi SOP ditetapkan.


"Di pihak kami, pemantauan dilakukan setiap hari di tapak pembinaan bagi memastikan SOP dipatuhi untuk mengelakkan penularan Covid-19 di kawasan terbabit," katanya.


Pembukaan semula operasi membabitkan sektor pembinaan membantu mengurangkan jumlah kerugian direkodkan ketika ia ditutup ketika tempoh PKP sebelum ini.


"Berdasarkan rekod, kerugian sebanyak RM11 billon dicatatkan pada bulan pertama pelaksanaan PKP membabitkan industri pembinaan berikutan penutupan operasi.


"Hasil perbincangan dilakukan, kami mengemukakan cadangan untuk membuka 13 sektor pembinaan pada April lalu bagi mengurangkan jumlah kerugian yang ditanggung sepanjang tempoh PKP berkenaan.


"Pembukaan sektor berkenaan menyebabkan jumlah kerugian berkurangan kepada RM6.2 billion selepas 13 sektor terbabit dibenarkan operasi. "Memandangkan semua sektor sudah dibenarkan operasi ketika ini, kami yakin tiada masalah kerugian dicatatkan," katanya.


Sumber: Harian Metro


7 views
bottom of page