top of page

Kuarters SK Bandar 2 Paloh Hinai perlu pembaikan semula


Kuarters SK Bandar 2 Paloh Hinai perlu pembaikan semula
Bangunan kuarters empat tingkat SK Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan, Pahang yang mendap pada Sabtu lalu. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat.

Kuarters SK Bandar 2 Paloh Hinai perlu pembaikan semula

PEKAN: Bangunan kuarters empat tingkat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar 2 Paloh Hinai, dekat sini yang dikosongkan selepas tanah mendap Sabtu lalu, memerlukan pembaikan semula membabitkan longkang dan takungan simen pecah.


Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir Hafizah Zakaria berkata kerja menambun semula kawasan itu perlu bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak terus berlaku disebabkan aliran air.


Katanya, selain itu penyediaan longkang baharu untuk mengalirkan air hujan yang turun secara berlebihan dari luar kawasan sekolah supaya tidak memasuki longkang di kuarters terbabit.


"Berdasarkan pemerhatian awal, kejadian tanah mendap dan hakisan berpunca daripada limpahan air daripada kawasan luar yang masuk ke longkang kawasan kuarters menyebabkan ia tidak dapat menampung aliran air banyak dalam satu masa.


"Ia menyebabkan takungan air pecah hingga menyebabkan berlakunya hakisan cerun di tepi koridor kaki lima bangunan kuarters terbabit," katanya ketika dihubungi.


Berikutan kejadian pada Sabtu lalu itu, seramai 23 penghuni merangkumi guru dan kakitangan sokongan SK Bandar 2 Paloh Hinai terpaksa dipindahkan sementara ke asrama sekolah berkenaan.


Mengulas lanjut, Hafizah berkata kuarters berkenaan di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan dan pihaknya hanya membantu untuk khidmat nasihat teknikal.


Katanya, pihak terbabit hanya perlu membina semula longkang dan takungan yang rosak selain menambun semula tanah runtuh di kawasan mendap.


Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata hujan lebat minggu lalu menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh dan mendap dibelakang bangunan kuarters.


"Untuk langkah keselamatan, semua 23 penghuni kuarters diarahkan berpindah oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas mereka membuat pemeriksaan Sabtu lalu.


"Mereka dibenarkan tinggal di asrama sekolah buat sementara. Selepas keadaan mengizinkan mereka akan kembali tinggal kuarters itu," katanya sambil mengesahkan pihaknya memberi perhatian serius kes berkenaan.



Kuarters SK Bandar 2 Paloh Hinai perlu pembaikan semula

bottom of page