KPWKM, Prasarana erat kerjasama tangani isu salah guna fasiliti untuk OKU


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengeratkan kerjasama dengan Prasarana Malaysia Bhd, bagi menangani isu utama membabitkan salahguna lif, kawasan parkir dan tandas yang dikhaskan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) oleh orang awam.


Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, berkata sesi dialog bersama golongan OKU di kementeriannya di Putrajaya semalam mendapati bahawa ketiga-tiga isu ini antara masalah yang sering diutarakan golongan berkenaan.


“Selepas sesi dialog semalam, kementerian hari ini bermesyuarat dengan pihak Prasarana pula untuk bersama-sama berbincang bagaimana cara menangani isu ini kerana ia terlalu kerap berlaku bagaikan tiada pengawasan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media mesyuarat bersama Prasarana di sini, hari ini.


“Selain tindakan yang lebih tegas akan dikenakan pihak Prasarana kepada mereka yang menyalahguna ketiga-tiga fasiliti yang dikhaskan untuk OKU ini, kementerian juga meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk lebih tegas dalam memantau penyalahgunaan fasiliti berkenaan di kawasan awam,” tambahnya.


Dalam pada itu, Yeoh turut menggalakkan lebih ramai golongan OKU mendaftarkan diri mereka dengan Jabatan Pembangunan OKU (jabatan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk mendapatkan kad khas yang akan memberi banyak manfaat kepada mereka.


“Antara manfaat yang bakal diterima pemegang kad khas OKU itu ialah diskaun harga tiket 50 peratus apabila menggunakan kemudahan pengangkutan awam terutamanya yang disediakan oleh Prasarana.


“Jika kita lihat data dikeluarkan Prasarana iaitu purata ‘trip’ perjalanan bulanan oleh golongan OKU adalah sekitar 55,000 ‘trip’, jadi ternyata pengangkutan awam antara pilihan terbaik untuk golongan itu bergerak dari satu tempat ke satu tempat,” kata Yeoh.


Beliau berkata setakat April 2019, sejumlah 540,986 kad OKU dikeluarkan kementerian itu, dengan golongan OKU fizikal mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 37 peratus, OKU daripada segi masalah pembelajaran (33 peratus) dan OKU penglihatan (8 peratus).


Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain pula berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian untuk melaksanakan kursus khas dinamakan Disability Equality Training (DET) dan Disability Related Service Training (DRST) pada Julai dan Ogos ini bagi melatih staf Prasarana untuk lebih memahami kehendak dan keperluan golongan OKU terutama membabitkan penggunaan kenderaan awam. – BERNAMA


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #Prasarana

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.