Kos projek MRT2, LRT3 hanya RM23.84 bilion


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Transit Aliran Massa 2 (MRT2) diteruskan dengan pengurangan kos keseluruhan sebanyak RM23.84 bilion hasil inisiatif dan rundingan dengan pihak kontraktor.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata LRT3 diteruskan dengan kos keseluruhan RM16.63 bilion berbanding kos asal RM31.65 bilion manakala kos MRT2 berjaya dikurangkan sebanyak RM8.82 bilion.


“Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dalam usaha mengurangkan kos projek infrastruktur seperti MRT2 dan LRT3, pada masa sama memastikan kedua-dua projek ini dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada rakyat.


“Kerajaan mengambil inisiatif penting dalam berunding dan mencapai persetujuan dengan pihak kontraktor untuk mengurangkan kos dan meminda terma perjanjian yang tidak menguntungkan kerajaan serta rakyat yang ditandatangani ketika pentadbiran kerajaan terdahulu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mahu kerajaan menyatakan sebab projek MRT2 dan LRT3 diberikan secara rundingan terus dan tidak dibuat dengan tender terbuka.


Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan mengamalkan prinsip integriti dan telus termasuk menggalakkan konsep tender terbuka bagi membuka peluang sama rata dan adil kepada semua pihak.


“Keputusan membatalkan kontrak tertakluk kepada harga yang boleh dikurangkan, mutu kerja yang dijalankan dan sama ada wujud unsur salah laku atau penyelewengan yang mempertikaikan integriti dan kredibiliti kontrak yang ditandatangani.


“Jika pemotongan harga yang munasabah boleh dicapai dengan mutu kerja yang terjamin, maka sesuatu projek boleh dipertimbangkan untuk diteruskan,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #LRT3 #MRT

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.