Kuala Terengganu: Kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu yang mengakibatkan lebih 150,000 pengguna terputus bekalan air, dipercayai berpunca daripada kerja mengorek pasir di kawasan berkenaan yang dilakukan sejak lima tahun lalu.
Aktiviti itu bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap jajaran paip berkenaan, malah menimbulkan keadaan kurang selesa kepada 250 penduduk Kampung Pulau Sekati, di sini, yang mendakwa kehidupan mereka terganggu berikutan bunyi bising.
Justeru, penduduk menggesa agar aktiviti mengorek pasir di sekitar jajaran paip dasar sungai Tangki Utama Berangan itu segera dihentikan kerana ia turut menyebabkan berlaku masalah hakisan tebing sungai itu.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ramlee Man, 59, berkata, kawasan tebing sungai terhakis sehingga tiga meter dan dikhuatiri akan menjadi lebih teruk jika aktiviti itu terus dibiarkan tanpa kawalan.
"Ketika memulakan kerja mengorek pasir di kawasan berkenaan, penduduk sudah memaklumkan terdapat jajaran paip di kawasan itu, namun syarikat terbabit tetap meneruskan projek itu.
"Pada awalnya, syarikat berkenaan menggunakan dua pam pengorek pasir. Bagaimanapun, selepas penduduk membuat aduan kepada agensi berkaitan beberapa tahun lalu, mereka menggunakan satu pam sahaja untuk beroperasi," katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, selepas kejadian paip pecah pada 2 Ogos lalu, syarikat terbabit sudah menghentikan aktiviti itu buat sementara waktu.
Namun, katanya, penduduk percaya tidak mustahil syarikat itu kembali beroperasi selepas kerosakan baharu yang berlaku pada jajaran paip berkenaan dapat diselesaikan.
"Penduduk berharap kerja mengorek pasir di kawasan ini dihentikan sepenuhnya kerana tidak sanggup menanggung kejadian lebih buruk di samping bimbang kesan berterusan berlaku kepada jajaran paip di dasar sungai.
"Sejak 15 tahun lalu, operasi paip dasar sungai itu tidak menimbulkan masalah dan ada kemungkinan kejadian paip pecah mengakibatkan lebih 150,0000 pengguna di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus terputus dua kali bekalan air adalah disebabkan aktiviti mengorek pasir," katanya.
Menurutnya, pelbagai aduan dibuat berkaitan aktiviti berkenaan yang didakwa tidak mengikut pelan diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk tiada penandaan boya di tapak operasi.
Difahamkan, hasil aduan itu, pihak berkaitan mengeluarkan arahan supaya menghentikan operasi itu kerana syarikat terbabit tidak mengikut pelan dibenarkan seperti tiada kawasan penandaan operasi.
Susulan itu arahan menghentikan aktiviti itu dikeluarkan pihak berwajib dan meminta syarikat terbabit melakukan penandaan kawasan dibenarkan bagi membolehkan meneruskan aktiviti itu.
"Bagaimanapun, syarikat terbabit tidak mematuhi arahan dan meneruskan aktiviti itu seperti biasa.
"Penduduk kecewa apabila tiada tindakan dilakukan pihak berwajib terhadap syarikat terbabit selepas itu," katanya.
Penduduk, Suzana Mustaffa, 50, berkata, jarak sungai semakin hampir dengan kawasan rumahnya, sekali gus bimbang hakisan itu mengancam kediaman mereka 10 beranak.
Katanya, kawasan rumahnya antara terjejas teruk akibat hakisan kerana terletak berdekatan sungai, malah setiap hari mereka terdedah dengan bunyi bising daripada aktiviti berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, aktiviti mengorek pasir di kawasan paip pecah itu sudah dihentikan bagi memberi laluan kepada jawatankuasa khas melakukan siasatan terperinci.
Sumber: Harian Metro
Comments