top of page

Kontraktor, juruteknik TM ditahan curi kabel


Arifai (kiri) menunjukkan kabel berserta lori dan van TM yang ditahan bagi membantu siasatan kecurian kabel di Jalan Intan.

GOMBAK - Seramai tujuh lelaki termasuk dua juruteknik Telekom Malaysia (TM) ditahan berhubung kes kecurian kabel di Jalan Intan Gombak Setia di sini semalam.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak telah menjalankan siasatan di pejabat TM Seri Gombak dan menahan dua kontraktor dan tiga pekerjanya.


"Polis berjaya merampas 22 kabel dan sebuah lori di Taman Pelangi Sentul sebelum menahan dua juruteknik TM dan merampas van syarikat itu untuk siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.


Menurutnya, modus operandi yang digunakan adalah melalui surat kebenaran kerja daripada TM cawangan Gombak kepada kontraktor bagi kerja di Taman Melawati Ampang.

"Selesai kerja di Taman Melawati, kontraktor itu membawa tiga pekerjanya dan dua juruteknik TM untuk menarik keluar kabel di Gombak Setia tanpa surat kebenaran kerja.


"Kabel yang dicuri itu kemudian disimpan di stor Taman Pelangi, Sentul," katanya.


Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan reman selama tiga hari di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


"Hanya seorang suspek iaitu kontraktor mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.


"Siasatan lanjut kemungkinan kabel itu dijual kepada pihak ketiga atau dipasang ke lokasi lain masih diteruskan," katanya.


Sumber: Sinar Harian


160 views
bottom of page