top of page

Kontraktor G1 perlu elak terlibat dengan kartel projek


Kontraktor G1 perlu elak terlibat dengan kartel projek
Gambar hiasan

Kontraktor G1 perlu elak terlibat dengan kartel projek

KANGAR: Kontraktor G1 khususnya golongan muda perlu menggelak daripada terlibat dengan kegiatan kartel tender yang wujud di negara ini.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, kartel tersebut kebiasaannya akan mengumpulkan sebahagian antara 30 hingga 40 kontraktor dalam satu kumpulan untuk disusun aturkan bagi sesuatu projek.


Katanya, kontraktor-kontraktor dalam kumpulan itu juga yang ingin mendapatkan keuntungan segera menerusi bayaran komisien akan menjual projek-projek diraih mereka kepada pihak berkenaan.


“Jadi dalam hal ini, kita hendak melatih kontraktor kelas G1 atau G2 ini terutama golongan muda ini supaya menanamkan iltizam untuk berusaha sendiri.


“Mereka tidak boleh mengambil jalan mudah apabila mendapat sesuatu tender projek pembinaan dengan menjualnya kepada orang lain untuk mendapatkan keuntungan segera,” katanya selepas Majlis Perasmian Pejabat PKBM Perlis di Jalan Al Marhum Kayang, di sini, hari ini.


Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim dan Yang Dipertua PKBM Perlis, Norhayati Hashim.


Dalam pada itu, Azman turut menasihati kontraktor-kontraktor di bawah PKBM agar sentiasa meningkatkan prestasi mereka khususnya dalam ilmu industri pembinaan.


Katanya, ini adalah berikutan pendedahan dari segi teknologi dalam pembinaan adalah sangat penting antaranya seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), 3D Printing dan pelbagai lagi.


“Kontraktor perlu tingkatkan diri dalam latihan dan pendedahan dari segi teknologi yang telah kerajaan usahakan melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” katanya.


Mengulas mengenai Belanjawan 2024, Azman berkata, pengumuman oleh kerajaan itu banyak membantu kontraktor kelas G1 sehingga G4 di negara ini menerusi beberapa projek khusus seperti membaiki tandas sekolah, pendawaian elektrik sekolah dan beberapa lagi.


Tambahnya, kerajaan perlu memperbanyakkan lagi inisiatif sedemikian khususnya di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bagi membantu kontraktor-kontraktor kecil di sana.


“Kalau boleh kerja-kerja yang tak mementingkan teknikal dapatlah diberikan kepada kontraktor tempatan untuk membantu mereka menambah pendapatan,” katanya.


Sumber: Utusan


Kontraktor G1 perlu elak terlibat dengan kartel projek

22 views

コメント


bottom of page