Kontraktor caj peralatan keselamatan pekerja berdepan tindakan


Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Kontraktor sektor pembinaan dan perkilangan yang mengenakan bayaran ke atas pekerja mereka kerana membekalkan peralatan keselamatan boleh dikenakan tindakan undang-undang.


Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negeri (JKKP) negeri, Mohd Zahari Hitam, berkata kontraktor pembinaan dan sektor perkilangan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyediakan peralatan keselamatan kepada pekerja.


Beliau berkata, berdasarkan peraturan ditetapkan kerajaan, majikan di sektor berkenaan dikehendaki memperuntukkan sebanyak dua peratus daripada nilaian projek bagi menyediakan pelbagai peralatan keselamatan untuk pekerja.


“Majikan di sektor itu tidak sepatutnya mengenakan bayaran atau memotong gaji pekerja kerana membekalkan peralatan keselamatan.


“Berdasarkan peraturan, menjadi kewajipan majikan menyediakan pelbagai peralatan keselamatan termasuk topi, kasut, sarung tangan dan tali pinggang serta jaket kepada pekerja,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.


Mohd Zahari berkata demikian ketika diminta mengulas ada antara majikan di sektor terbabit memaksa pekerja untuk membayar kos peralatan keselamatan.


Ada juga antara majikan di sektor berkenaan membuat potongan gaji serta meminta pekerja membayar secara ansuran ke atas peralatan keselamatan dibekalkan.

Mohd Zahari berkata, pekerja di sektor berkenaan diminta membuat laporan kepada JKKP jika ada majikan mengenakan bayaran kerana membekalkan peralatan keselamatan.


“JKKP akan melakukan siasatan dan majikan di sektor berkenaan berdepan tindakan undang-undang jika didapati bersalah mengenakan bayaran ke atas pekerjanya.


“Majikan yang didapati bersalah boleh didakwa mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #JKKP #keselamatan

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.