top of page

Kontraktor buat kerja walau belum dibayar 1 sen


Mohd Izhar (tiga,kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah Pengangkutan Bandar MBJB, Mohd Rafi Jasman (empat,kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk di sini, hari ini.

JOHOR BAHRU - ADUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad akhirnya campur tangan bagi menyelesaikan isu 14 buah lif di Pangsapuri Taman Larkin Idaman Plot C yang lewat disiapkan daripada jadual.


Beliau mengadakan pertemuan lebih sejam dengan semua pihak termasuk kontraktor, penduduk, pengurusan pangsapuri dan Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi mencapai kata sepakat.


Dalam pertemuan itu, beliau mendengar semua permasalahan yang menyebabkan kerja menaiktaraf itu masih belum disiapkan sebelum akhirnya bertegas supaya pihak berkaitan segera menyelesaikan isu dibangkitkan.


"Masalah di sini ialah kontraktor nak buat kerja tapi tak ada duit (tidak dibayar). MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) memberi jaminan dalam masa terdekat, peluang agak cerah untuk mendapatkan peruntukan.

"Peruntukan ini dari KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) bukan peruntukan MBJB sendiri. Bajet telah diluluskan cuma ada isu perolehan dan ia sudah selesai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pangsapuri Taman Larkin Idaman Plot C di sini, hari ini.


Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang bayaran dibuat kepada kontraktor namun kerja menaiktaraf tetap dijalankan.


"Kontraktor masih belum menerima bayaran 1 sen pun. Walaupun tidak dibayar lagi, mereka tetap meneruskan kerja," katanya.


Pada 25 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan aduan penduduk pangsapuri 12 tingkat itu yang tidak puas hati dengan kegagalan pihak kontraktor menyiapkan 14 buah lif di tujuh blok seperti dijadualkan.


Penduduk kini terpaksa bergantung kepada sebuah lif lama yang sering kali mengalami kerosakan hingga mengganggu aktiviti seharian terutama buat golongan tua dan OKU yang terpaksa menggunakan tangga.


Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada 2 Julai lalu berkata kerja menaiktaraf lif di pangsapuri itu dijangka siap hujung tahun ini.


Pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan KPKT agar kontraktor dapat menyiapkan keseluruhan baki tujuh buah lif yang masih tergendala.


Sumber: Sinar Harian


9 views
bottom of page