top of page

Kontrak MBI beri manfaat 4,000 pekerja


Majlis Bandaraya Ipoh

IPOH – Sebanyak RM7.86 juta nilai projek melibatkan 97 kerja diberikan secara undian terbuka kepada kontraktor dalam daerah Kinta oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada sesi undian secara dalam talian yang diadakan hari ini.


Penganugerahan kontrak kerja ini juga bakal memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 pekerja syarikat-syarikat yang terlibat sekali gus memacu ekonomi domestik.


Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kesemua syarikat yang menyertai cabutan undi tersebut pula adalah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) G1 dan Kementerian Kewangan.


Menurut beliau, nilai perolehan kerja undi ini juga adalah di bawah RM100,000.00 sejajar dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia yang telah dikeluarkan.


“Antaranya kerja-kerja kejuruteraan awam sebanyak 67 kerja, mengecat jalan (tujuh), mengecat bangunan (tujuh), penyelenggaraan bangunan (enam), membekal tanaman (tiga), pengindahan kawasan (enam) dan membekal kelengkapan kemudahan awam (satu).


“Ia meliputi peruntukan pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM895,000, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) RM66,000, Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) RM3.34 juta dan MBI (RM3.56 juta),” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Pelaksanaan undian yang telah diadakan secara langsung melalui Facebook MBI juga akan meningkatkan intergriti pihak berkuasa tempatan itu dalam proses perolehan kepada para kontraktor.


Jelas Rumaizi, ia juga sejajar dengan norma baharu bagi mengurangkan interaksi sosial serta mencegah penularan wabak Covid-19.


“Penganugerahan kontrak ini diharap merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Perak bagi meringankan beban rakyat khususnya kontraktor G1 yang terkesan secara langsung dengan pandemik Covid-19.


“Bagaimana pun, kontraktor yang telah mendapat kerja sehingga 22 Julai tidak akan terpilih dalam proses undi ini,” ujarnya.


Sumber: Kosmo!

10 views

Commenti


bottom of page