
KUALA LUMPUR: Citaglobal Bhd menerusi konsortium dengan Reneuco Bhd secara bersama telah dianugerahkan Surat Hasrat untuk menjadi Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikenali Projek IPP ECRL.
Kontrak itu adalah susulan permintaan untuk cadangan daripada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk pembangunan projek pengeluar tenaga bebas dan boleh diperbaharui untuk projek ECRL.
Konsortium mendapat dan menerima Surat Hasrat daripada MRL hari ini untuk menjadi sebagai IPP bagi Projek IPP ECRL, berikutan permintaan pelaksanaan cadangan.
Selaras dengan surat itu, MRL bercadang untuk membabitkan konsortium berkenaan dalam perancangan, reka bentuk, pembiayaan, pembangunan, pembinaan, pemasangan, penyiapan, pentauliahan dan pengendalian Projek IPP ECRL.
Anugerah itu tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian kontrak rasmi yang akan dimeterai antara ahli konsortium iaitu Citaglobal dan Reneuco dengan MRL dalam masa terdekat.
"Kami bersyukur memperoleh kontrak ini melalui pelaksanaan bidaan yang kompetitif. Citaglobal pasti akan memainkan peranannya dalam melaksanakan dan merealisasikan Projek IPP ECRL bersama rakan kongsi kami, Reneuco.
"Memenangi kontrak ini adalah sejajar dengan fokus dan visi perniagaan Citaglobal, iaitu menjadi peserta utama dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE), dan pada masa yang sama membina asas pendapatan berulang untuk syarikat bergerak ke hadapan," kata Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria.
Projek ECRL ialah rangkaian kereta api sepanjang 640 kilometer (km) yang menghubungkan bahagian yang berlainan di wilayah pantai timur dengan wilayah pantai barat di Malaysia.
ECRL menghubungkan ibu negeri, pusat bandar utama, hab perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang dan zon pelancongan dan ia bertukar dengan laluan kereta api sedia ada di Semenanjung Malaysia.
Projek ECRL bersedia untuk membantu meningkatkan ekonomi Malaysia dan juga menjadi sebahagian daripada Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur untuk mencapai pertumbuhan dan pembangunan yang saksama antara timur dan barat Malaysia.
Sementara itu, MRL adalah entiti Kementerian Kewangan Malaysia untuk mentadbir pelaksanaan ECRL.
MRL sedang membangunkan projek ECRL dan akan mengendalikannya menerusi usaha sama 50:50 dengan China Communications Construction Company.
Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menyelia dan mengawal selia projek itu.
Sumber: Berita Harian
Comments