top of page

'Konsep KXP berbeza' - Sanusi


'Konsep KXP berbeza' - Sanusi
Ilustrasi KXP yang merupakan sebahagian Kedah Aerotropolis. AAA

'Konsep KXP berbeza' - Sanusi

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan Kementerian Pengangkutan (MOT) agar tidak membandingkan konsep pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).


Beliau berkata, kedua-dua lapangan terbang terbabit beroperasi sebagai lapangan terbang penumpang, sebaliknya asas pembinaan KXP bertumpu seratus peratus kepada sektor kargo, bukan penumpang.


Menurutnya, ia berteraskan pemindahan kargo dari Eropah ke China melalui KXP untuk pasaran Asia Pasifik.


“Justeru, dapatan konsultan Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang diguna pakai MOT mengetengahkan situasi semasa dan sedia ada di KLIA berhubung 92 peratus melalui ‘belly cargo’ adalah tidak sama dengan situasi dirancang untuk Kedah Aerotropolis.


“Ini kerana tumpuan utama segmen kargo Kedah Aerotropolis diambil melalui ‘sister airport’, iaitu Henan Province Airport Group yang akan beroperasi di sini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Ahad.


Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd berkata, unjuran kargo daripada penggiat industri kargo bukan berdasarkan data terdahulu.


“MoU ditandatangani dengan Henan Province Airport Group bersama lima penggiat industri ketika LIMA’23, kesemua itu tidak diambil kira sebagai dapatan dalam laporan kajian NASP yang dikemukakan MOT.“Tidak wajar dapatan data dan unjuran lapangan terbang berasaskan penumpang dijadikan asas justifikasi pembangunan model untuk kargo, yang mendapat input dan unjuran daripada penggiat industri kargo sendiri,” jelasnya.


Pada Sabtu, MOT dalam kenyataan memaklumkan, hasil dapatan konsultan NASP mendapati tiada keperluan untuk sebuah lapangan terbang baharu dilaksanakan di Kulim kerana fasiliti di LTAPP masih mampu mengendalikan permintaan perkhidmatan kargo dan penumpang.


MOT berkata, cadangan pembinaan KXP sebaliknya boleh dipertimbangkan selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 juta penumpang setahun (MPPA) yang diunjurkan pada 2042, selain menegaskan tiada sebarang cadangan penyertaan swasta mampu biaya kos projek KXP.


Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut mengingatkan MOT supaya tidak membuat keputusan, pendirian atau kenyataan dengan memanipulasi kajian diusahakan dengan kos yang begitu besar daripada wang rakyat semata-mata untuk kepentingan politik kepartian.


“Merujuk kenyataan MOT, laporan penuh kajian NASP akan siap hujung tahun ini. Justeru, dapatan kajian itu bersifat semasa, bukan muktamad. Akan ada perkembangan dari semasa ke semasa yang boleh mempengaruhi laporan akhir (muktamad) NASP. Ini termasuk data-data terbaru daripada perjanjian kerjasama yang akan bertambah,” ujarnya.


Beliau turut menempelak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang sebelum ini mendakwa ‘Kedah tidak pernah mohon untuk membangunkan KXP’.


“Kenyataan MOT berkenaan inti pati kajian NASP sekali gus menjawab kenyataan Menteri Pengangkutan sendiri di Parlimen pada 8 Mac, yang dakwa Kedah tidak pernah kemukakan permohonan bangunkan KXP mahupun Kedah Aerotropolis.


“Ini bermakna kenyataan beliau sebelum ini tidak relevan dan tidak seharusnya dibangkitkan,” jelasnya.


Muhammad Sanusi berkata, pembangunan Kedah Aerotropolis mahupun KXP merupakan projek yang signifikan dengan keperluan ekonomi rakyat dan negara, malah diperakui penggiat industri antarabangsa sebagai berpotensi menjadi ‘economic game changer’ rantau ini.


“Ternyata pihak luar lebih yakin terhadap projek ini berbanding pemimpin Kerajaan Persekutuan.


“Namun saya yakin jaringan sedia ada memadai untuk fasa pembukaan KXP, dan akan ditampung dengan kewujudan lebuh raya baharu (Northern Corridor Highway) termasuk bawah projek Northern Corridor Implimentation Authority (NCIA) yang akan melalui Kedah Aerotropolis.


“Sebab itu saya tegaskan, tidak ada kaitan unjuran kargo berdasarkan konsep perniagaan Kedah Aerotropolis dengan penggunaan maksimum penumpang. Amat jelas KXP tidak berkaitan dengan konsep lapangan terbang penumpang,” ujarnya.


Menurutnya, perbincangan lanjut bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap diadakan segera seiring titah Sultan Kedah, agar Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan sewajarnya menyegerakan kelulusan KXP serta tidak dipengaruhi kepentingan politik.


Sumber: Sinar Harian


'Konsep KXP berbeza' - Sanusi


15 views

Comments


bottom of page