top of page

18 firma minat bangunkan projek KXP - MB Kedah


projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)
Gambar hiasan: "Sekurang-kurangnya 18 firma berminat membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sekiranya syarikat tempatan yang dipilih tidak berupaya melaksanakannya." - Sanusi

projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)

ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya 18 firma berminat membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sekiranya syarikat tempatan yang dipilih tidak berupaya melaksanakannya.


Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan nama syarikat tempatan berkenaan di Dewan Rakyat minggu lalu sebagai tidak tepat.


Katanya, perbincangan dan tawaran kepada syarikat terbabit dibuat secara langsung oleh kerajaan Kedah, maka Kerajaan Persekutuan sepatutnya mendapatkan maklumat berkaitan projek berkenaan menerusi negeri.


"Kedah Aerotropolis bukan projek cadangan swasta, ia adalah projek kerajaan negeri yang akan dibiayai sepenuhnya melalui pembiayaan swasta (PFI).


"Justeru, tidak ada syarikat yang boleh batalkan projek ini.


"Perdana Menteri sepatutnya ambil maklumat betul daripada negeri, saya sudah buat surat mohon tarikh untuk diadakan taklimat bersama beliau, tetapi tidak dijawab.


"Bercakap melalui surat tidak cukup kerana laporan konsultan sangat tebal.


"Laporan cadangan yang dibuat konsultan itu juga diberi kepada dua Perdana Menteri, saya tidak rasa dua Perdana Menteri itu bawa balik rumah laporan berkenaan, laporan itu ada lagi di Pejabat Perdana Menteri, kena baca baru faham," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.


Minggu lalu, Anwar memaklumkan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kemampuan kewangan membangunkan KXP, selain mendedahkan syarikat tempatan yang dipilih kerajaan negeri melaksanakan projek terbabit turut tidak berupaya berbuat demikian.


Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan menilai semula 18 firma yang membuat permohonan membangunkan KXP bagi menggantikan syarikat tempatan yang dikatakan menolak tawaran berkenaan.


Katanya, pemilihan firma itu dibuat terdahulu kerana syarikat tempatan itu dianggap mudah berurusan berikutan mempunyai ibu pejabat di negara ini dan berpengalaman luas membangunkan infrastruktur berkaitan.


"Tindakan Perdana Menteri tidak melalui negeri dalam isu KXP adalah ketidakadilan kepada negeri, seolah-olah kita buat kerja 'main-main' sedangkan kita sudah siapkan semua laporan teknikal dan kajian kebolehlaksanaan projek ini.


"Sekiranya syarikat yang ditawarkan projek ini tidak mampu laksana, kita sedia buat penilaian semula ke atas syarikat lain yang berminat membangunkan KXP.


"Kita urus secara profesional, mungkin selepas ini syarikat yang menolak tawaran itu boleh bangunkan projek lain pula.


"Cuma saya minta syarikat terbabit jawab surat tawaran kita, dalam senarai kita ada syarikat yang berkepakaran mengendalikan kargo selain ada syarikat yang mempunyai kepakaran antarabangsa," katanya.


Sumber: Berita Harian


22 views

תגובות


bottom of page