top of page

KKPKBP pembida kelima tawar beli konsesi PLUS



KUALA LUMPUR: Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd (KKPKBP), muncul pembida kelima yang berminat mengambil alih PLUS Expressway Bhd (PLUS).


Ia menawarkan membeli 100 peratus kepentingan dalam syarikat konsesi lebuh raya itu pada pertimbangan tunai RM30 bilion.


Turut ditawarkan adalah pengurangan kadar tol sebanyak 50 hingga 60 peratus berbanding kadar sedia ada.


Memperincikan perkara itu, Presiden dan Pengerusi KKPKBP, Datuk Seri Dr Razmi Ab Rahman, berkata tawaran yang dikemukakan pihaknya kepada kerajaan itu, membabitkan pembelian semua aset, bon dan pentadbiran PLUS.

Beliau berkata, KKPKBP yang juga anggota Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), akan mengetuai pengambilalihan itu dan ANGKASA akan menjadi pihak pelaksana dalam transaksi itu.


Katanya, cadangan pengambilalihan itu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada Ogos hingga Oktober tahun lalu.


Lebuh raya yang terbabit dalam konsesi PLUS ialah Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) dan Lebuh raya Seremban-Port Dickson (SPDH).


Beliau mendakwa, tawaran yang dikemukakan pihaknya adalah kompetitif dan yakin kerajaan akan mengkaji cadangan KKPKBP dan ANGKASA.


“Mengenai dana pengambilalihan RM30 bilion itu, ia tidak membabitkan sebarang pinjaman atau bon, sebaliknya menggunakan dana dalaman.


“Kita sudah mempunyai dana, tidak perlu pinjaman atau bon. Jika kami dipilih, dana itu sudah mencukupi untuk pengambilalihan.


“Malah kami juga mempunyai keupayaan dalam operasi serta penyenggaraan,” katanya dalam satu temu bual dengan BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah ketika dihubungi juga menyatakan pihaknya menyokong usaha yang ingin dilaksanakan anggota koperasi di bawahnya.


“Kami menyokong perkara itu dan memberi surat sokongan untuk diusulkan kepada Perdana Menteri. Bagaimanapun, ia adalah inisiatif koperasi itu sepenuhnya.


“ANGKASA tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama atau menjalin strategi bersama koperasi lain, jika ia terlaksana,” katanya.


Razmi berkata, selain cadangan potongan harga kadar tol, mereka juga akan memberikan dividen yang lebih tinggi kepada ahli koperasi di bawah ANGKASA yang ketika ini mempunyai 74,247 buah koperasi dengan enam juta anggota, jika mereka berjaya mengambil alih konsesi PLUS.


KKPKBP mempunyai lebih daripada 200 ahli koperasi dan menjalankan perniagaan berkaitan hartanah, pembinaan dan perkakasan.


Koperasi itu juga mempunyai beberapa pelan pembangunan hartanah di Manjung, Bagan Datoh, Perak serta di Pelabuhan Klang, Selangor dan Bangsar, Kuala Lumpur.


Katanya, sudah tiba masanya gabungan koperasi mempunyai perniagaan berskala besar dan mampu memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada anggota berbanding ketika ini.


Beliau berkata, aset sedia ada ANGKASA ketika ini juga hanya sekitar RM16 bilion dan ia tidak besar jika dibandingkan dengan jumlah anggota dan koperasi seluruh Malaysia.


Setakat ini, selain KKPKBP, empat pembida lain yang sudah mengumumkan hasrat masing-masing adalah RRJ Capital, Widad Business Group Sdn Bhd, Maju Holding Sdn Bhd dan ahli perniagaan yang juga jutawan, Tan Sri Halim Saad.



14 views

Comments


bottom of page