
KUALA LUMPUR: Kumpulan Kitacon Bhd (Kitacon) mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan kukuh, dibuka pada 99 sen bagi premium 31 sen atau 45.59 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 68 sen.
Pada pembukaan hari ini, penyedia perkhidmatan pembinaan itu menyaksikan 19.18 juta sahamnya diniagakan.
Syarikat itu adalah yang pertama disenaraikan di Pasaran Utama pada tahun ini.
Pengarah Urusan Kitacon, Tan Ah Kee, berkata syarikat berkenaan akan terus bekerja keras dengan tumpuan yang serius untuk mencatat pertumbuhan mampan.
"Hari ini menandakan satu kejayaan penting yang utama bagi kami. Kami berbesar hati menerima sokongan dan sambutan memberangsangkan daripada semua pihak dalam mengharungi perjalanan penting ini.
"Penyenaraian awam adalah antara pencapaian yang memuaskan, tetapi pada masa sama, kami juga sedar dengan tanggungjawab susulan daripada penyenaraian kami.
"Kami yakin Kitacon akan berkembang teguh pada beberapa tahun akan datang dan berhasrat untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham berikutan kepercayaan dan keyakinan mereka, selaras dengan polisi dividen kami untuk membayar sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keuntungan selepas cukai," katanya pada majlis penyenaraian syarikat itu di sini, hari ini.
Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata langkah penyenaraian itu adalah tepat pada masanya untuk syarikat terbabit memanfaatkan peluang yang semakin luas dalam industri pembinaan.
"Ia adalah gambaran jelas mengenai keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat ini berikutan unjuran industri yang memberangsangkan.
"Saya berpendapat bahawa Kumpulan Kitacon dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan banyak peluang susulan penyenaraiannya pada masa yang sesuai, bagi memperkasa kedudukan dalam industri pembinaan," katanya.
Sementara itu, Kitacon dalam kenyataan berkata, bagi tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 September 2022, syarikat itu meraih gabungan keuntungan bersih belum diaudit sebanyak RM35.2 juta dan hasil berjumlah RM350.8 juta.
RHB Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi pelaksanaan IPO berkenaan.
Sumber: Berita Harian
Comments