top of page

Ketua Penolong Pegawai Daerah direman



Johor Bahru: Ketua Penolong Pegawai Daerah ditahan reman selama empat hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan wang sebanyak RM23,500.


Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru,Norhidayah Abd Manaf.


Menurut sumber, lelaki yang berusia 36 tahun berkenaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya, 2.45 petang semalam.


Menurut sumber berkenaan lagi, siasatan awal mendapati suspek meminta dan menerima wang suapan daripada seorang kontraktor sebagai balasan dan dorongan mendapatkan 12 kerja-kerja kontrak yang dikeluarkan oleh sebuah pejabat daerah pada Mei lalu.


Ketika tangkapan SPRM difahamkan turut menyita wang tunai berjumlah RM10,000.


Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.


Terdahulu, suspek hadir ke perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, 9.30 pagi tadi.


Suspek dilihat memakai baju oren SPRM diiringi beberapa anggota agensi berkenaan sebelum memasuki Bilik Reman kira-kira setengah jam kemudian.

Sumber: Harian Metro


5 views
bottom of page