top of page

KETENGAH sedia RM24.6 juta untuk 23 projek tahun ini

  • Feb 27, 2023
  • 2 min read

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)

DUNGUN: Sebanyak RM24.6 juta dalam Belanjawan 2023 diperuntukkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) untuk melaksanakan 23 projek sambungan dalam kawasan pentadbirannya.


Pengurus Besar KETENGAH, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, berkata projek sambungan itu merangkumi lima teras iaitu, ekonomi dan keusahawanan, pembangunan masyarakat, pembangunan prasarana, alam sekitar dan sistem penyampaian.


Katanya, sebanyak RM2.945 juta diperuntukkan untuk pemerkasaan usahawan, membina premis perniagaan dan pelancongan serta RM400,000 untuk pemerkasaan koperasi, pemantapan belia dan pemerkasaan wanita.


"Kita juga memperuntukkan RM14.16 juta untuk kemudahan asas dan awam, kemudahan perniagaan dan insfrastuktur penempatan dan komersil.


"Sebanyak RM5.215 juta pula diperuntukkan untuk sistem perparitan dan kumbahan serta RM1.9 juta diperuntukkan untuk sistem aplikasi dan Infostruktur," katanya selepas mengadakan taklimat bersama Timbalan Perdana Menteri yang merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pejabat Ketengah di Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, hari ini.


Tengku Ahmad Nadzri berkata, seiring usia 50 tahun penubuhan, KETENGAH terus berbakti kepada masyarakat desa di tiga daerah di Negeri Terengganu sebagai peneraju pembangunan sosioekonomi.


"KETENGAH juga menitikberatkan pembangunan perumahan mampu milik, menambah baik capaian telekomunikasi luar bandar di Daerah Dungun dan Hulu Terengganu.


"Kita juga mewujudkan peluang pekerjaan bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam sektor perladangan serta cadangan perluasan kawasan operasi yang sedang dikaji kemungkinannya oleh Perunding UPM," katanya.


Katanya, KETENGAH juga membantu menjayakan keterjaminan makanan dengan membuka lebih banyak kawasan pertanian yang berskala besar dan pemasaran 'activated carbon' daripada sisa kelapa sawit.


Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM101,900 kepada Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye-Syria hasil kutipan derma warga KETENGAH dan anak syarikatnya.


"Kutipan ini akan diserahkan kepada Wisma Putra melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri untuk disalurkan kepada program bantuan manga gempa bumi di tenggara Turkiye dan utara Syria," katanya.


Sumber: Berita Harian


 
 
 

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page