top of page

Kesesakan di Bandar Saujana Putra selesai Mei 2023


Kesesakan di Bandar Saujana Putra selesai Mei 2023 Utusan Malaysia www.utusan.com.my
Gambar hiasan: Kesesakan lalu lintas di Bandar Saujana Putra

SHAH ALAM: Kesesakan yang berlaku di susur keluar dari Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) ke Bandar Saujana Putra (BSP) di Kuala Langat dijangka berlarutan sehingga Mei tahun hadapan berikutan berlaku kelewatan menyiapkan projek jejambat di sana.


Jejambat tersebut sepatutnya siap lebih awal, namun berlaku perubahan pada rekaannya yang pada peringkat awal serta cerucuk tidak menepati keperluan bagi pembinaan jejambat tersebut serta kerja pengalihan utiliti di bahagian bawah.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam negeri, Izham Hashim berkata, kelewatan tersebut sudah diselesaikan selepas beliau mengadakan mesyuarat bersama pihak terlibat termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pemaju Seribu Baiduri Sdn. Bhd. (LBS Bina Group) pada Jun lalu.


“Isu yang saya sebut tadi, aspek teknikal yang mana berlaku kelewatan adalah (disebabkan) perubahan kepada rekaan dan cerucuk, rekaan yang awal itu tidak menepati sepenuhnya keperluan bagi pembinaan jejambat itu. Perkara itu sudah diubah dan diselesaikan.


“Setakat ini kemajuan (projek jejambat) adalah 48 peratus dan kita mensyaratkan juga dalam mesyuarat berkenaan supaya Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memastikan pemantauan dibuat secara bulanan yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam, kita akan memastikan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.


Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berhubung kelewatan dan kesesakan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Kesesakan di BSP dekat laluan yang menghubungkan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Bandar Rimbayu di Kuala Langat itu kerap berlaku pada waktu puncak iaitu pagi dan petang.


Keadaan tersebut turut disumbang oleh peningkatan trafik apabila susur berkenaan dijadikan sebagai laluan pintas menuju ke Putrajaya, Shah Alam dan Klang.


Bagaimanapun, Izham yang juga ADUN Pandan Indah memaklumkan penyuraian kesesakan trafik dibantu oleh pasukan penguat kuasa MPKL dengan kerjasama polis trafik pada setiap hari bekerja.


“MPKL mendapatkan bantuan daripada polis dalam menyuraikan kesesakan trafik pada masa puncak dengan menempatkan anggota di kawasan laluan berkenaan bagi memastikan kelancaran kenderaan yang melalui bulatan BSP.


“Pada masa ini, pengurusan MPKL di BSP dengan kerjasama PDRM membuat kawalan lalu lintas dari pukul 6.30 pagi hingga 8 pagi, jika terdapat keperluan masa kawalan akan ditingkatkan,” jelasnya.


Sumber: Utusan

72 views
bottom of page