top of page

Kesan ekonomi berganda jika ECRL diteruskan


Kesan ekonomi berganda jika ECRL diteruskan

DALAM keadaan Kementerian Kewangan sedang mencari jalan bagi menyusun dan melunaskan hutang negara yang mencecah RM1 trilion, kos melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM81 bilion yang diluluskan kerajaan terdahulu, adalah satu jumlah yang sangat tinggi.


Justeru, selepas kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan ECRL ditangguhkan Julai lalu, kerajaan masih perlu membayar sejumlah wang kepada kontraktor utama kerana terikat dengan kontrak pembinaan yang sudah dimeterai pada Oktober 2016.


Namun, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin bahawa ECRL berkemungkinan diteruskan dalam skala yang lebih kecil sekiranya China bersetuju dengan langkah berkenaan, wajar dilihat dari sudut positif.


Kita berharap sementara kerajaan berminat untuk meneruskan semula projek mega ini, ia haruslah dengan syarat ada rundingan semula bagi mengurangkan kos keseluruhan.


Penyelesaian yang bersifat ‘menang-menang’ harus diterjemahkan dengan maksud Malaysia tidak perlu dibebankan dengan hutang yang besar, manakala China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang membina kemudahan itu tidak menanggung kerugian jika projek dibatalkan.


Antara rundingan semula yang berjaya dalam mengurangkan kos ialah pembinaan MRT 2 apabila pemaju bersetuju mengurangkan jumlah stesen dan tidak bermewah dalam rekaan sesebuah stesen.


Kita percaya dalam isu ECRL, Kementerian Kewangan akan mendapat jalan tengah terbaik demi kebaikan semua pihak.


Pada masa sama, keputusan meneruskan kemudahan rel ini kelak seharusnya dilihat atas dasar projek ini menjadi pemangkin kepada pembangunan di negeri Pantai Timur.


Ia seterusnya membawa kesan berganda kepada ekonomi dan limpahan pembangunan seperti kejayaan ditunjukkan menerusi pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan pada 1980-an.


Sumber: BeritaHarian


42 views
bottom of page