top of page

Kes tanah runtuh Bukit Kukus 27 Sept



KES syarikat projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus yang didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat hingga mengorbankan sembilan pekerja asing disebut semula di Mahkamah Sesyen di Georgetown, 27 September ini.


Sembilan pekerja itu meninggal dunia dalam insiden tanah runtuh pada 2018.


Hakim Mazdi Abdul Hamid hari ini, menetapkan tarikh itu (27 Sept) selepas dimaklumkan peguam syarikat Yuta Maju Sdn Bhd, S Kanesh, bahawa mereka masih lagi menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara berhubung permohonan representasi untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Kanesh yang memaklumkan mahkamah sama pada 16 Julai lalu untuk mengemukakan permohonan representasi itu, sudah menghantar permohonan berkenaan pada 8 Ogos lalu dan kini masih menunggu keputusannya.


Yuta Maju yang diwakili pengarahnya Osmera Mamat, mengaku tidak bersalah pada 2 Julai lalu terhadap tiga pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat yang dikemukakan pegawai pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang, Norliza Abu Othman.


Dalam pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan yang dalam pembinaan pada 8.30 malam, 11 Oktober 2018.


Bagi pertuduhan kedua, Yuta Maju yang didakwa sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja ‘backfill’ atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada 1.48 tengah hari, 19 Oktober 2018 dan sembilan orang maut.


Kedua-dua pertuduhan itu dibaca di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.


Syarikat tersebut yang juga kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Pulau Pinang bagi projek itu turut menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 29(2) akta sama kerana gagal melantik seorang pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja.


Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.


Sumber: Harian Metro


46 views
bottom of page