top of page

Kerjaya Prospek raih kontrak RM617 juta bina pangsapuri


PROJEK Aspen Vision City di Seberang Perai

KUALA LUMPUR: Kerjaya Prospek Group meraih kontrak bernilai RM617 juta untuk membangunkan projek pangsapuri dikenali sebagai VIVO dan VIIO dalam Aspen Vision City di Seberang Perai, Pulau Pinang.


Anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd menerima surat lantikan daripada Aspen Vision City Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Aspen (Group) Holdings Ltd dan syarikat usaha sama antara Kumpulan Aspen dan IKEA Southeast Asia, katanya dalam kenyataan satu kenyataan.


Kerjaya Prospek, yang dikenali sebagai GSB Group Bhd sebelum namanya ditukar minggu lalu berkata, pembinaan fasa pertama projek itu, VIVO, yang bernilai RM365 juta, akan mengambil masa selama 38 bulan dari bermula projek itu yang dijadualkan pada 14 Februari 2020.

Dijangka siap pada April 2023, fasa itu merangkumi kerja-kerja cerucuk, ‘pile cap’ dan bangunan utama untuk pembangunan 1,530 pangsapuri eksekutif, 14 unit kedai, podium tempat letak kereta dan kemudahan umum.


Fasa kedua, VIIO, yang bernilai RM252 juta, membabitkan kerja-kerja cerucuk, ‘pile cap’ dan bangunan utama untuk pembangunan 980 pangsapuri eksekutif, sembilan unit kedai, podium tempat letak kereta dan kemudahan umum.


VIIO dijangka siap dalam masa 36 bulan dari tarikh yang belum ditentukan, menurut syarikat itu.


Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kerjaya Prospek, Datuk Tee Eng Ho berkata kontrak itu menunjukkan reputasi syarikat yang semakin meningkat sebagai kontraktor pilihan dalam melaksanakan projek yang berkualiti tinggi tepat pada masanya tanpa menjejaskan keselamatan.


“Saya gembira untuk tahun-tahun akan datang berikutan kami berusaha untuk mencatatkan pertumbuhan pendapatan dengan nilai perolehan kontrak terkumpul kira-kira RM3.5 bilion.


“Kumpulan akan terus membida secara agresif untuk kerja-kerja baharu dan menjangka keputusan positif daripada aktiviti membida ini dalam masa terdekat,” katanya.

-BERNAMA



19 views
bottom of page