top of page

Kerjaya masa depan berfokus robotik, AI, dron dan hologram


Gambar hiasan

ARAU 23 April - Sebahagian besar bidang pekerjaan yang dijangka menjadi perhatian majikan menjelang 2030 adalah berkisar tentang teknologi maklumat (IT) yang berfokus kepada teknologi robotik serta kecerdasan buatan (AI), dron dan hologram.


Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, ini seperti mana kerjaya masa depan yang telah disenaraikan oleh gergasi perisian dunia, Autodesk yang dijangka mendapat permintaan tinggi nanti.


Kata beliau, antaranya ialah kurator berpengalaman teknologi augmentasi realiti (AR)/realiti maya (VR), pelatih robot, penyepadu sistem sensor dan pakar pencetak 3D.


“Walaupun kebanyakan aplikasi AR/VR dicipta untuk permainan dan hiburan, namun ia akan berkembang untuk kegunaan lebih serius seperti kejuruteraan, pembangunan dan termasuk di sekolah. Ini memerlukan kawalan pakar AR/VR untuk memastikan ia berfungsi seperti yang diingini.


“Begitu juga pada masa depan, apabila semakin banyak robot bertugas di samping manusia tetapi masih memerlukan pakar untuk menetapkan tugasannya (robot).


“Sensor pula banyak digunakan di dalam produk moden dan ia perlu berhubung antara satu sama lain dengan tepat. Adalah penting untuk mendapatkan pakar yang boleh menghubungkan semua sensor ini menjadi peralatan Internet of Things (IoT) yang berguna,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Seminar Pembangunan Profesionalisme Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan di Kampus Tetap Unimap di Pauh Putra di sini, hari ini.


Tambah Zul Azhar lagi, berikutan perkembangan pencetak 3D yang semakin meluas kegunaannya sehingga ke bidang aeroangkasa, ia bakal memerlukan tugasan pakar dan dijangka menjadi kategori pekerjaan paling dicari majikan pada masa depan.


Mengenai isu pengangguran, Zul Azhar berkata, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mencapai tahap kebolehpasaran graduan antara 80 sehingga 90 peratus setiap tahun iaitu dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, bergantung kepada sesuatu program.


“Isu kebolehpasaran graduan bukanlah sesuatu yang membimbangkan bagi Unimap kerana kita sentiasa melahirkan ‘produk’ yang menjadi permintaan industri,” katanya.


Malah beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC) Unimap itu, graduan universiti berkenaan bekerja mengikut bidang yang dipelajari.


“Antaranya kejuruteraan pembuatan, kejuruteraan alam sekitar dan bangunan serta kejuruteraan komputer dan perhubungan. Sebanyak 31.38 peratus graduan Unimap bekerja di sektor pembuatan diikuti sektor saintifik dan teknikal (19.4 peratus), sektor pembinaan (11 peratus) dan sektor maklumat dan komunikasi (enam peratus),” katanya.


Tambah Zul Azhar, Unimap bukan sahaja mendapat kepercayaan industri tempatan, sebaliknya graduan keluaran universiti tersebut turut mendapat pengiktirafan dari syarikat-syarikat luar negara dan ini dibuktikan melalui keberadaan alumni mereka di seluruh dunia.


“Terkini Clarivate Analytics dan Kementerian Pendidikan dalam Laporan Pencapaian Penyelidikan dan Inovasi Universiti di Malaysia 2013–2017 turut menyebut Unimap diterima baik oleh sektor industri di Amerika Syarikat dan China terutama oleh syarikat berasaskan teknologi robotik,” katanya. - UTUSAN ONLINE



41 views
bottom of page