
LEBIH RM500 juta sudah diluluskan oleh Bank Islam Malaysia Berhad kepada anggaran 150 vendor peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas (OGSE) menerusi Program Pembiayaan Vendor (VFP) PETRONAS di mana jumlah nilai kontrak melebihi RM1.7 bilion sudah dibiayai di bawah program berkenaan.
PETRONAS memulakan kerjasama dengan Bank Islam pada 2018 selepas vendor OGSE Malaysia terjejas ekoran krisis harga minyak.
PETRONAS adalah kumpulan tenaga global yang meneroka, menghasil dan menyalurkan tenaga serta penyelesaian yang memacu perkembangan masyarakat secara bertanggungjawab dan lestari.
VFP adalah inisiatif PETRONAS dalam pembangunan vendor tempatan untuk terus berdaya saing bagi mengukuhkan ekonomi Malaysia.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan - Perbankan Institusi, Bank Islam, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir, berkata perkongsian inovatif ini menghubungkan PETRONAS dengan sembilan institusi kewangan di Malaysia, termasuk Bank Islam, untuk memudahkan akses pembiayaan bagi vendornya melalui VFP.
"Melalui program ini, PETRONAS sudah menyatakan komitmen untuk membantu kami memahami dan mengesahkan maklumat penting berkenaan vendor terbabit sebelum dan semasa kontrak serta tempoh pembiayaan. Langkah ini membantu bank dalam menguruskan risiko kredit dan berupaya memberikan tawaran lebih menarik kepada vendor yang berdaftar di bawah PETRONAS," katanya.
Sharifah Sarah berkata, bersandarkan Skim Jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) oleh Bank Islam, program ini juga direka untuk mengurangkan beban vendor menyediakan wang tunai atau cagaran.
"Dengan akses yang lebih baik terhadap pembiayaan, ia dapat membantu vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil lebih banyak peluang dan mengembangkan perniagaan mereka.
"Kami menawarkan program kadar pembiayaan yang berdaya saing untuk vendor di bawah program ini melalui Talian Tunai Perniagaan-I, ljarah Thumma Ba''-i (AITAB-i) dan pelbagai kemudahan perdagangan.
"Kemudahan ini memenuhi keperluan vendor OGSE dari segi bekalan langsung atau perdagangan, pemasangan dan pentauliahan bekalan, ujian, pentauliahan latihan, perkhidmatan perniagaan, penyediaan perkhidmatan dan penyelenggaraan serta kontrak lain, tertakluk kepada kelulusan bank," katanya.
Kriteria ditetapkan
Menurut Sharifah Sarah, PKS perlu memenuhi kriteria tertentu untuk berkelayakan menyertai program berkenaan.
"Sebagai permulaan, pemohon mestilah vendor tempatan berlesen dan berdaftar bersama PETRONAS atau anak syarikatnya serta kontraktor utama yang mendapat terus arahan kerja daripada Kumpulan syarikat berkenaan.
"Mereka juga perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.
Ditanya sama ada Bank Islam mempunyai perancangan untuk memperluaskan lagi sokongan kepada PKS atau vendor, Sharifah Sarah berkata, pihaknya sedang mengambil langkah dalam meningkatkan pengalaman pelanggan melalui pendigitalan program pembiayaan vendor.
"Kami sudah memulakan usaha ini pada tahun ini dan dilaksanakan secara berperingkat. Malah, kami menyarankan untuk mendigitalkan program ini sepenuhnya.
"Pelanggan pembiayaan vendor sedia ada kami akan menikmati manfaat pengalaman perbankan yang lancar apabila menggunakan kemudahan tersebut dengan proses transaksi yang dipermudahkan dan perkhidmatan yang lebih pantas oleh Bank Islam.
Berkenaan kerjasama lain antara PETRONAS dan Bank Islam pada masa akan datang, Sharifah Sarah berkata, selaras dengan usaha kerajaan untuk negara menjadi sifar karbon, pembiayaan hijau dan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon adalah antara kepentingan Bank Islam kini.
Beliau menambah, menerusi penyelesaian lengkap patuh Syariah yang ditawarkan, Bank Islam juga mengalu-alukan kontraktor berdaftar PETRONAS yang berminat untuk menerokai program pembiayaan vendor bersamanya.
Pemohon yang layak dan berminat boleh mengetahui lebih lanjut berkenaan VFP Bank Islam melalui laman Vendor Financing - Bank Islam Malaysia Berhad di www.bankislam.com/business-banking/commercial-banking/vendor-financing/.
Sumber: Berita Harian
Kerjasama bangunkan vendor OGSE menerusi akses pembiayaan Kandungan Berjenama
ความคิดเห็น