top of page

Pertamina, PETRONAS bakal ambil alih pegangan Shell dalam projek Masela


Pertamina, PETRONAS bakal ambil alih pegangan Shell dalam projek Masela
PETRONAS aktif mencari peluang baharu bagi memastikan syarikat itu kekal berdaya tahan - Foto Reuters

Pertamina, PETRONAS bakal ambil alih pegangan Shell dalam projek Masela

KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga milik negara, Pertamina dan PETRONAS secara bersama merancang untuk mengambil alih kepentingan Shell dalam projek gas Masela di Indonesia, kata menteri tenaga republik itu hari ini.


Shell bercadang untuk melupuskan 35 peratus saham dalam Masela dan pihak berkuasa Indonesia mahu syarikat terbabit memuktamadkan urus niaga itu untuk menggerakkan ke hadapan projek yang sudah tertangguh selama beberapa tahun.


"Kedua-duanya sedang berunding," kata Menteri Tenaga, Arifin Tasrif kepada Reuters, merujuk kepada Pertamina dan PETRONAS.


"Mereka perlu memuktamadkan skim kerjasama yang sedang dipersiapkan," katanya di luar persidangan Energy Asia di Kuala Lumpur yang dihoskan PETRONAS hari ini.


PETRONAS berkata, ia secara aktif mencari peluang baharu bagi memastikan syarikat itu kekal berdaya tahan dalam landskap tenaga yang sedang berubah, namun tidak menyatakan secara khusus mengenai projek Masela.


Seorang jurucakap Shell berkata, syarikat itu tidak mengeluarkan kenyataan mengenai aktiviti portfolio yang sedang dijalankan.


Pertamina dan PETRONAS sedang mempersiapkan perjanjian jualan bersama Shell, kata Arifin, sambil menambah bahawa beliau berharap janji niaga itu akan selesai dalam masa sebulan.


Awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pertamina berkata ia sedang memuktamadkan perjanjian projek Masela.


Projek itu diketuai oleh firma Jepun, Inpex, yang memiliki 65 peratus kepentingan.


Ia direka untuk mempunyai volum pengeluaran gas asli cecair tahunan mencecah 9.5 juta tan metrik pada tahap kemuncak.


Sumber: Berita Harian


Pertamina, PETRONAS bakal ambil alih pegangan Shell dalam projek Masela


Comments


bottom of page