KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan, Kerjaya Prospek Group Bhd menerusi anak syarikat 49 peratus miliknya, Kerjaya Bina BMK Sdn Bhd (KBB) menerima surat anugerah (LOA) daripada BBCC Development Sdn Bhd untuk kerja mereka bentuk dan membina bangunan utama projek pembangunan di Off Jalan Hang Tuah/Jalan Pudu bernilai RM135.4 juta.
BBCC Development adalah syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UDA Holdings Bhd dan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld).
Kontrak merangkumi kerja pembinaan sebuah blok pangsapuri servis 31 tingkat, podium dan lantai bawah tanah merangkumi tempat meletak kereta tujuh tingkat, lobi utama serta sebuah dewan serba guna.
Kerja pembinaan bagi projek pembangunan itu dijangka bermula pada 1 Mac 2023 untuk tempoh 36 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong, berkata kontrak baharu yang dianugerahkan itu adalah bukti kepada trek rekod terbukti kumpulan dan keupayaannya untuk memperoleh serta menyerahkan kontrak kepada pelanggan dengan konsisten, di sebalik persekitaran makro mencabar.
"LOA daripada BBCC Development mewakili kontrak pertama kumpulan tahun ini, mengukuhkan baki kontrak dalam tangan kami kepada RM4.3 bilion yang akan memberikan keterlihatan pendapatan untuk lima tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Sumber: Berita Harian
Comments