top of page

Kerja pembinaan MRT3 dijangka bermula akhir 2024


Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3)
MRT3 akan melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur -NSTP/Fathil Asri

Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3)

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini dijangka merintis kepada momentum kemasukan semula aliran kerja sektor pembinaan, dengan jangkaan yang tinggi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) akhirnya akan dimulakan secara rasmi.


Penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely, berkata projek MRT3 ketika ini masih menunggu sama ada akan menggunakan model pembiayaan hibrid atau kerajaan sebaliknya beralih kepada skim pembayaran tertunda dengan cara menerbitkan bon menerusi DanaInfra Nasional Bhd.


"Dalam kedua-dua kes, kami menjangkakan kerja-kerja sivil MRT3 akan dimulakan pada akhir 2024, iaitu kira-kira sembilan hingga 12 bulan selepas kontrak kerja sivil berpotensi dianugerahkan, iaitu berkemungkinan pada suku kedua atau separuh kedua tahun ini.


"Ini bagi memberikan jalan kepada proses pengambilalihan tanah yang masih lagi berada di peringkat awal," katanya menerusi satu nota penyelidikan.


MRT3 Laluan Lingkaran dikatakan bahagian terakhir yang penting bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur, dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer melalui sepanjang perimeter bandar raya.


MRT3 akan mengelilingi Kuala Lumpur dan melalui kawasan berkepadatan tinggi termasuk Setiawangsa, Titiwangsa, Mont Kiara, Pantai Dalam dan Pandan Indah.


Cadangan jajaran boleh dilihat menerusi laman web MRT Corp. Namun, jajaran itu belum dimuktamadkan dan tiada butiran selanjutnya disediakan mengenai lokasi sebenar laluannya.


Butiran lanjut mengenai jajaran itu belum didedahkan walaupun MRT Corp sudah mengeluarkan tender bagi kontrak rundingan pengurusan projek (PMC) selain pakej pembinaan sivil.


Ogos tahun lalu, MRT Corp melantik entiti usaha sama HSS Integrated Sdn Bhd dan HSS Engineering Sdn Bhd bagi pakej PMC bernilai RM997.9 juta.


MRT Corp masuk belum menganugerahkan pakej kerja pembinaan sivil.


Sementara itu, tarikh akhir bagi menghantar kontrak sistem turnkey dilanjutkan sehingga pertengahan bulan ini.


Susulan kemajuan projek itu, beberapa kumpulan meminta supaya pihak berkuasa mengadakan sesi dialog bagi membincangkan beberapa isu membabitkan jajaran berkenaan sebelum ia diluluskan.


Ia berikutan terdapat laporan ramai pemilik tanah dan pemilik rumah yang tertanya-tanya mengenai jajaran sebenar MRT3, kerana sudah diberikan notis oleh Jabatan Tanah dan Galian mengenai kemungkinan harta mereka akan diambil.


Sementara itu, Sharizan berkata kontrak infrastruktur yang dianugerahkan pada tahun lalu susut sebanyak dua peratus berbanding pada 2021, berikutan ketiadaan projek berskala besar baharu selain MRT2 yang hampir siap, selain penangguhan beberapa tender kontrak disebabkan oleh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada suku keempat 2022.


Beliau berkata, menjelang pembentangan Belanjawan 2023, CGS-CIMB mengekalkan penarafan 'neutral' kepada sektor pembinaan dengan salah satu tema utama adalah potensi penganugerahan pakej MRT3 yang besar.


"Gamuda kekal pilihan utama kami bagi sektor ini kerana strategi serantaunya mendahului kontraktor lain, manakala IJM Corp adalah sektor modal besar dengan potensi dividen khas.


"HSS Engineers menawarkan risiko yang menarik pada paras semasa dengan penerimaan kontrak dijangka meningkat pada separuh kedua 2023," katanya.


Sumber: Berita Harian


49 views

Commentaires


bottom of page