top of page

Kerja baik pulih kemudahan Bukit Wang dijangka siap Julai


Keadaan jambatan yang runtuh di Taman Rimba Eko Bukit Wang, Kubang Pasu akibat fenomena kepala air pada 9 November lalu. NSTP/Noorazura Abdul Rahman

ALOR SETAR: Kerja-kerja membaik pulih Taman Eko Rimba Bukit Wang, Kubang Pasu, dijangka siap pada Julai ini selepas kemudahan di situ rosak akibat fenomena kepala air pada 9 November lalu.


Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah, berkata kerja-kerja berkenaan dijangka bermula dalam masa terdekat oleh kontraktor yang dilantik bagi membaik pulih jambatan yang runtuh, tandas dan surau.


"Kerajaan negeri meluluskan sejumlah peruntukan sebelum ini bagi membaik pulih taman rimba berkenaan dan ia mungkin mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk siap.


"Terdapat kawasan di bahagian atas, kita cadang untuk tutup kerana ia sudah dipenuhi dengan semak, lagi pun orang ramai sudah tidak berkunjung ke kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Bagaimanapun, Muhamad menasihatkan agar pengunjung berhati-hati ketika keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.


Katanya, beliau akan meminta pegawai di lapangan untuk melakukan pemantauan agar pengunjung berwaspada ketika berada di kawasan berkenaan.


"Walaupun sekarang musim hujan, kita tidak boleh tutup sebab kita tidak tahu sampai bila cuaca sekejap hujan dan panas. Jika kita tutup sepenuhnya orang ramai akan mengadu.


"Jadi orang ramai yang berkunjung ke Bukit Wang perlu jaga keselamatan diri. Jika nampak gelap atau hendak hujan, mereka perlu beredar bagi mengelak kejadian kepala air," katanya.


Pada 13 Januari lalu, media melaporkan sebanyak 10 Taman Eko Rimba seliaan JPNK termasuk Bukit Wang kembali dibuka kepada pengunjung bermula hari ini, selepas ditutup sejak 10 November lalu.


Sumber: Berita Harian

4 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page