top of page

Kerajaan tidak akan semak, struktur semula projek dilaksanakan pentadbiran terdahulu


ree
Foto hiasan.

ree

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk membuat sebarang semakan atau penstrukturan semula terhadap projek-projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini, kata Kementerian Ekonomi.


Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian itu memaklumkan, kesemua projek berkenaan akan terus dilaksanakan selaras dengan peraturan perolehan yang menguntungkan kerajaan.


Penjelasan itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang bertanya jika terdapat semakan atau penstrukturan semula projek-projek yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.


Sementara itu, menurut kementerian sama, kerajaan setiap negara anggota Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines (BIMP-EAGA) akan menentukan hala tuju pembangunan BIMP-EAGA dan menyelaraskannya dengan keutamaan pembangunan sosio-ekonomi.


"Wawasan 2025 BIMP-EAGA (BEV 2025) ialah rangka tindakan pembangunan BIMP-EAGA bagi 2017 hingga 2025 yang memperincikan strategi untuk merapatkan jurang pembangunan, menguruskan sumber semula jadi secara mampan dan menggalakkan kesalinghubungan yang lebih kukuh," tambah kementerian itu.


Antara teras strategik jangka panjang adalah untuk menjadikan kawasan sub-serantau BIMP-EAGA sebagai bakul makanan serantau, destinasi pelancongan melalui pengurusan sumber asli secara mampan, membina persekitaran perdagangan yang kondusif serta memperkukuh pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang dipacu oleh sektor swasta.


Kementerian berkenaan menjawab soalan Datuk Henry Sum Agong (GPS-Lawas) berhubung perancangan dan projek yang akan dilaksanakan di bawah BIMP-EAGA di Sarawak.


Dalam usaha mengimbangi pembangunan yang tidak sekata di antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kementerian itu menjelaskan, usaha diteruskan untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi dan menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial.


Selain itu, mempertingkat pembangunan inklusif termasuk memperkukuhkan kerjasama antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri.


"Di bawah Rolling Plan 3 Tahun 2023 (RP3 2023), Sabah telah diluluskan peruntukan pembangunan asas (DE Asas) berjumlah RM6.46 bilion untuk pelaksanaan 1,141 projek, manakala bagi Sarawak, DE Asas yang diluluskan berjumlah RM5.42 bilion untuk pelaksanaan 979 projek di bawah pelbagai kementerian.


"Pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak juga akan terus diberi tumpuan, yang mana di bawah RP3 2023, sebanyak RM597.261 juta telah diluluskan untuk Sabah dan RM479.194 juta kepada Sarawak bagi pembangunan luar bandar kedua-dua negeri tersebut," menurut kementerian itu.


Penjelasan itu menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai langkah-langkah ke hadapan kerajaan untuk mengimbangi pembangunan yang tidak seimbang di antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


Sumber: Berita Harian


 
 
 

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page