top of page

Kerajaan tiada cadangan kawal harga rumah


Kerajaan tiada cadangan kawal harga rumah
Gambar hiasan

Kerajaan tiada cadangan kawal harga rumah

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat menyekat atau mengawal harga rumah, sebaliknya menggalakkan pembinaan rumah mampu milik yang mana harga yang ditawarkan di bawah RM300,000.


Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pada masa sama kerajaan juga sedang meneliti pembinaan rumah mampu milik itu sesuai dengan lokaliti dan keperluan mengikut kawasan dan pembeli.


Katanya, pada masa ini, kerajaan tidak mahu mengawal harga rumah dan industri perumahan bebas menentukan harga berdasarkan lokaliti dan reka bentuk dan jenis kediaman.


"Pada masa akan datang, kita mahu rumah mampu milik ini mengambil kira kemampuan pembeli bukan hanya harga pasaran di kawasan berkenaan," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai kawalan harga rumah yang ditawarkan pemaju perumahan.


Sementara itu, menjawab isu rumah terbengkalai, Akmal Nasrullah menyatakan kementerian sering mengemaskini perkara itu melalui pasukan petugas khas projek sakit dan rumah terbengkalai.


"Kebanyakan projek sakit dan terbengkalai akibat masalah dalaman atau luaran . Masalah dalaman ini merujuk kemampuan syarikat pemaju menyiapkan dan menjual rumah yang dibina.


"Ada keperluan menilai dan memperkasa kawalan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 atau Akta 118 tapi ini rancangan jangka panjang manakala tindakan sederhana dan jangka pendek kita akan pantau melalui Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS)," katanya.


Menjawab soalan asal Mohd Sany mengenai usaha memastikan setiap rakyat dalam negara ini mampu memiliki rumah sendiri, katanya kerajaan sentiasa komited membela nasib rakyat dengan menyediakan inisiatif di bawah aspek pembiayaan.


Katanya, ini dilaksanakan melalui inisiatif i-Biaya di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).


"Melalui skim ini, kerajaan memberi jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000. Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji atau Takaful Gadai Janji (Mortgage Reducing Term Takaful, MRTT), yuran guaman dan yuran penilaian.


"Pembiayaan adalah terhad kepada rumah pertama. Namun, pembiayaan ini tidak terhad untuk kediaman baharu saja, tetapi termasuk juga rumah sedia ada atau rumah lelongan," katanya.


Pada masa sama, katanya melalui pengumuman Dasar Ekonomi MADANI baru-baru ini, jumlah keseluruhan jaminan yang diberi oleh kerajaan meningkat kepada RM10 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan SJKP ini.


"Di sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 sehingga 30 September lalu, sebanyak 30,841 permohonan pinjaman bernilai RM5.85 bilion telah diluluskan.


"Seterusnya, kerajaan melalui Belanjawan 2024 mencadangkan menambah lagi RM10 bilion jumlah jaminan bagi memanfaatkan 40,000 peminjam.


"Selain itu, Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) dilaksanakan bagi memberikan pengecualian atau peremitan duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi harga rumah sehingga RM1 juta untuk pembeli rumah pertama bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 hingga 31 Disember ini," katanya.


Sementara itu, katanya terdapat dua kategori di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Dimiliki dan PPR Disewa yang dikhaskan kepada golongan B40.


Katanya, kerajaan juga memperkenalkan Program PPR Sewa untuk Milik (PPR RTO) pada 2017 dengan memberikan skim pembiayaan mudah.


"Skim ini khusus bagi membantu pemilikan rumah golongan berpendapatan B40 yang ditawarkan unit PPR tetapi gagal mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan.


"Skim RTO PPR dilaksanakan di 18 PPR di seluruh negara yang membabitkan 7,234 unit rumah.


"Sehingga 30 September 2023, sebanyak 5,620 keluarga ditawarkan skim RTO PPR di seluruh negara," katanya.



Kerajaan tiada cadangan kawal harga rumah

Comentarios


bottom of page