Kerajaan Terengganu mohon perubahan jajaran, jumlah stesen ECRL


Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan memanfaatkan tempoh terakhir sebelum pelancaran semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Dungun pada 26 Julai ini untuk memohon perubahan jajaran dan jumlah stesen menerusi rundingan bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri mahu memastikan pembinaan projek mega itu tidak sia-sia dan mencapai keuntungan serta manfaat ekonomi maksimum kepada negeri ini keseluruhannya.


Beliau berkata, perubahan jajaran ECRL daripada kawasan pantai ke kawasan lebih dalam perlu sesuai dengan perancangan pembangunan kerajaan negeri di setiap daerah.


“Saya akan bertemu Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak esok (hari ini) dan meminta jajaran dicadangkan mereka itu sesuai dengan perancangan dan inisiatif pembangunan dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) serta pelan pembangunan kerajaan negeri.

“Kita ada rancangan tempatan di setiap daerah, ada kawasan penempatan dan pertanian, jadi mesej ini harus disampaikan kepada MRL supaya perubahan jajaran dicadangkan sebelum ini tidak terlalu ke dalam dan perlu berhampiran bandar supaya matlamat pembinaannya tercapai.


“Jangan disebabkan mahu menjimatkan kos, projek ini diteruskan dengan jajaran baharu, tetapi masuk ke dalam mungkin ke kawasan hutan dan tiada siapa menggunakannya,” katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.


Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan setiap jajaran diputuskan dibuat mengikut tujuan dan keperluan serta kepentingan rakyat.


Katanya, dalam proses rundingan itu, kerajaan negeri juga akan memohon MRL mengekalkan sekurang-kurangnya lapan stesen ECRL di negeri ini seperti pelan asal, berbanding perubahan pelan yang menetapkan enam stesen di sepanjang jajaran ECRL di negeri ini.


“Kita dalam proses rundingan supaya dapatkan semula lapan stesen ini. Dua stesen digugurkan pada pelan baharu ECRL ialah Stesen Telaga Papan di Setiu dan Stesen Paka di Dungun,” katanya.


Terdahulu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) supaya kerajaan negeri memastikan jajaran ECRL dibuat dalam kawasan bandar, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sedang berusaha memastikan jajaran ECRL memberi keuntungan kepada kerajaan negeri.


“Pada masa ini kita belum dapat jajaran yang tepat, tetapi perubahan jajaran dari kawasan pantai ke kawasan lebih dalam dibuat kerana mahu menjimatkan kos kerana kos lebih tinggi di kawasan pantai terutama untuk kerja awam,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #ECRL

8 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.