Shah Alam: Kerajaan Negeri berdepan risiko untuk disaman sekiranya tidak meneruskan siar warta status Hutan Simpan Bukit Cherakah (HSBC) yang dinyahwartakan sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri meneruskan siar warta bagi penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah pada 5 Mei lalu bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar 2006.
"Kalau kerajaan negeri tidak meneruskan pemasyhuran atau siar warta itu, kerajaan negeri akan berdepan dengan (tindakan) saman (syarikat yang mempunyai kepentingan di tanah itu).
"Sebab syarikat terbabit akan kehilangan peluang perniagaan yang sudah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini (kerajaan Selangor sebelum PH)," katanya dalam sidang media di Program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor 2022 di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, anak syarikat negeri (GLC) yang mempunyai kepentingan di hutan terbabit akan diminta tidak meneruskan projek pembangunan mereka kecuali yang membabitkan kepentingan awam.
"Kita sedang arahkan (GLC) pulangkan balik atau tidak meneruskan projek kecuali untuk kemudahan awam seperti pembinaan jalan atau tanah kubur.
"Tetapi kalau membabitkan syarikat swasta yang mempunyai potensi untuk ambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan negeri... apa upaya kita sebab ia adalah keputusan kerajaan sebelum ini.
Kita tidak ada ruang kecuali kita bersedia untuk membayar ganti rugi," katanya.
Beliau berkata demikian susulan laporan sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan Hutan Simpan Bukit Cherakah sudah 22 kali dinyahwarta sejak 1924.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas cadangan jajaran baharu projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang bakal dibina itu didakwa akan menjejaskan kira-kira 90 rumah penduduk di Taman Kencana, Ampang tanpa pengetahuan kerajaan negeri.
"Perkara itu perlu dimeterai dengan kerajaan negeri sebab perkara itu akan dipastikan jajarannya terlebih dahulu oleh kerajaan negeri kerana ia membabitkan pengambilan tanah.
"Saya pasti perkara itu akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk kita melihat jajaran dan kesannya dan masalahnya," katanya.
Sumber: Harian Metro
Bình luận