top of page

Kerajaan Persekutuan giat laksana dua projek besar di Pantai Timur


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. - Foto NSTP/Genes Gulitah

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR: Dua projek pembangunan berskala besar di negeri Pantai Timur yang dijangka siap 2026 sedang dilaksanakan di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia membabitkan Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai (KBKK) sepanjang 66.9 kilometer (km) bernilai RM2.3 bilion dan Lingkaran Tengah Utama (LTU) sepanjang 298.4km bernilai RM7.7 bilion.


Beliau berkata antara impak positif bagi kedua-dua projek berkenaan adalah dapat meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat, menyediakan infrastruktur berkualiti di luar bandar, mengurangkan risiko kemalangan di samping dapat meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti laluan ke Pantai Timur.


Katanya, keseluruhan projek KBKK merangkumi tujuh kontrak yang mana dua projek telah siap dan lima projek sedang dalam pembinaan.


"Manakala projek LTU pula terbahagi kepada 10 kontrak yang mana dua projek dalam peringkat perolehan, tujuh projek dalam peringkat pembinaan dan satu projek telah siap.


"Status semasa bagi projek KBKK adalah 42.8 peratus sebenar berbanding 45.9 peratus unjuran, manakala bagi projek LTU adalah 51.1 peratus sebenar berbanding 51.9 peratus unjuran," katanya.


Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi soalan dikemukakan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh).


Nik Muhammad Zawawi meminta Menteri Kerja Raya menyatakan projek pembangunan berskala besar yang sedang dilaksanakan di negeri-negeri Pantai Timur di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk manfaat langsung rakyat berbanding negeri-negeri pantai barat.


Sumber: Berita Harian


25 views

Commenti


bottom of page