top of page

Kerajaan Persekutuan beri persetujuan Sarawak bangunkan projek kabel elektrik dasar laut


Kerajaan Persekutuan beri persetujuan Sarawak bangunkan projek kabel elektrik dasar laut kepada Singapura – Abang Johari
Gambar hiasan: Projek kabel elektrik dasar laut

Kerajaan Persekutuan beri persetujuan Sarawak bangunkan projek kabel elektrik dasar laut kepada Singapura – Abang Johari

BINTULU: Sarawak telah diberikan kebenaran dari kerajaan Persekutuan untuk melakukan perbincangan berkaitan pembangunan projek kabel elektrik dasar laut kepada negara Singapura melalui Tondong, Bau.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan projek yang melalui negara Indonesia itu nanti akan membolehkan Sarawak mengeksport sehingga 1,000 megawatt (MW) bekalan elektrik.


“Kita sudah mendapat keputusan di mana kerajaan Persekutuan telah memberi ‘lampu hijau’ (persetujuan) untuk kita berbincang mengenai pelaksanaan projek dan secara prinsipnya telah diputuskan.


“Projek ini nanti akan membolehkan kita membekalkan tenaga elekrik ke Singapura sehingga 1,000 MW sekarang boleh dimulakan kajian terutama sekali untuk kita mewujudkan projek kabel elektrik dasar laut dari Tondong di Sarawak ke Singapura,” jelasnya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Bilateral sempena Kongres Tenaga Hidro Dunia 2023 di Bali Nusa Dua Convention Center, di Bali Indonesia hari ini.


Justeru itu, Abang Johari menjelaskan sebuah Pejabat Konsulat Jeneral Republik Singapura di Kuching akan ditubuhkan oleh Republik Singapura.


Pembukaan pejabat itu nanti itu katanya secara langsung akan meningkatkan perhubungan dua hala sekaligus melonjakkan ekonomi di antara Sarawak dan Singapura khususnya dalam sektor pelancongan dan sektor-sektor lain.


“Ini bermakna bahawa perhubungan akan dipertingkatkan dengan kewujudan Pejabat Konsulat Jeneral Republik Singapura yang ditempatkan di Kuching.


“Saya pun telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika di Singapura mengenai cadangan untuk mempertimbangkan syarikat penerbangan kita, MASwings untuk melakukan penerbangan ke Singapura,” ujarnya.


Pembukaan Pejabat Konsulat Jeneral Republik Singapura di Kuching itu dedah Abang Johari telah dipersetujui semasa Program Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura Ke-10 di Singapura pada Isnin.


Menurutnya, kewujudan Pejabat Konsulat Jeneral Republik Singapura itu juga secara langsung akan meningkatkan perhubungan dua hala sekaligus melonjakkan ekonomi di antara Sarawak dan Singapura khususnya dalam sektor pelancongan dan sektor-sektor lain.


Dalam persidangan tersebut Premier Sarawak menyatakan beliau telah berkongsi mengenai kelebihan negeri ini yang memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang besar khususnya dalam penjanaan tenaga elektrik.


Jelasnya, penjanaan tenaga elektrik menerusi pembinaan empangan hidroelektrik dapat dilaksanakan secara lestari kerana Sarawak mempunyai banyak sungai dan jumlah taburan hujan yang tinggi.


“Sungai boleh dikaji sebagai alternatif kepada sumber takungan (‘reservoir’) untuk penjanaan tenaga hidro, malah pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) sudah ada satu project di Lawas yang menggunakan sistem yang sama untuk mengeluarkan (tenaga) hidro.


“Tetapi kita nak meningkatkannya agar pengeluaran hidro kita memiliki potensi mengikut laporan kajian Snowy Mountains dulu yang mana potensi pengeluarannya adalah lebih kurang 20,000 MW yang mana kita baru mengeluarkan lebih kurang 7,000 MW,” katanya.


Sehubungan itu Abang Johari menggesa agar SEB untuk mengkaji semula, kerana mungkin ketika itu input tersebut masih belum dikemaskini.


Oleh itu, Sarawak kini katanya, mensasarkan janaan sebanyak 20,000 MW dahulu dengan menggunakan kaedah yang ada.


Sumber: Utusan


Kerajaan Persekutuan beri persetujuan Sarawak bangunkan projek kabel elektrik dasar laut kepada Singapura – Abang Johari


bottom of page