top of page

Kerajaan perlu tempoh enam bulan kaji projek RTS


KUALA LUMPUR: Kerajaan meminta lanjutan tempoh sehingga September ini daripada Singapura sebelum membuat sebarang keputusan berhubung projek Sistem Transit Rapid (RTS).


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan perlu memperhalusi pelbagai perkara termasuk isu berkaitan kos untuk melaksanakan projek berkenaan.


“Kita meminta lebih masa daripada kerajaan Singapura supaya kerajaan dapat mengkaji pelbagai pilihan yang ada termasuk cara mengurangkan kos projek. Tempoh selama enam bulan sehingga September ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan projek RTS yang menghubung jajaran Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura.


Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bersedia mempertimbangkan untuk terbabit dalam projek RTS.


Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata kemudahan jaringan hubungan bagi kedua-dua negara itu seharusnya dipertingkatkan terutama bagi membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik pelabur Malaysia-Singapura.


Sementara itu, mengulas mengenai rungutan pengusaha perkhidmatan e-hailing berhubung peraturan baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mensyaratkan permohonan permit perkhidmatan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing), Loke berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha terbabit minggu ini.


“Kita akan mendekati mereka. Malah, saya difahamkan kebanyakan pengusaha ini sudah mendapatkan lesen (PSV-Teksi/E-hailing) masing-masing,” katanya.



59 views
bottom of page