top of page

Kerajaan kerugian RM26.87 juta projek PUSPAHANAS lewat disiapkan


PUSPAHANAS

KUALA LUMPUR: Kelemahan urus tadbir kontrak dan kewangan serta perancangan adalah antara punca projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di bawah Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) di Presint 1, Putrajaya lewat disiapkan.


Kelewatan projek bernilai RM99 juta itu yang sepatutnya siap pada 23 Oktober 2014 menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos kerugian sebanyak RM26.87 juta berikutan penurunan nilai tanah yang ditukar (swap) dengan pemaju projek itu.


Tiga faktor kelemahan itu terkandung di dalam rumusan Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang disiarkan dalam laman web KEMENTAH, hari ini.

“Justeru, tindakan punitif perlu dikenakan ke atas jabatan atau pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab diamanahkan untuk mengelak kelemahan urus tadbir pada masa depan,” kata laporan itu.


Berdasarkan kontrak yang ditandatangani, kos projek PUSPAHANAS adalah RM99 juta dan sebagai balasan, tiga lot tanah KEMENTAH seluas 89.3 hektar bernilai RM72.5 juta dipindah milik kepada syarikat pemaju dilantik.


Projek ini mengambil masa 11 tahun untuk dilaksanakan sejak tarikh kelulusan prinsip diputuskan Jemaah Menteri pada 26 Februari 1997 sehingga ia bermula di tapak Presint 1, Putrajaya pada 11 Ogos 2008.


Untuk rekod, Jemaah Menteri meluluskan secara prinsip projek ini dibina Syarikat Awan Megah Sdn Bhd (AMSB) di atas tanah kementerian seluas 88.4 hektar di Templer Park, Selangor pada tahun 1997.


Projek ini dilaksanakan secara penswastaan melalui kaedah pertukaran tanah (land swap), namun tidak dapat diteruskan berikutan sebahagian daripada tapak projek, bertindih dengan pembinaan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR).


Pada Januari 2007, Jemaah Menteri bersetuju memindahkan PUSPAHANAS ke Presint 1, Putrajaya.


Sehingga 31 Oktober lalu, 98.13 peratus projek itu disiapkan, namun ia masih lewat 465 hari daripada tarikh sepatutnya siap iaitu 23 Julai 2017.


PUSPAHANAS dijangka mula beroperasi Jun ini, akan menempatkan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) serta sebuah maktab baharu, Maktab Pertahanan Nasional (NDC).


Jika diambil kira tarikh semasa pada Oktober 2018, projek ini berlarutan selama 21 tahun (sejak tahun 1997) dan masih belum disiapkan sepenuhnya.


Sementara itu, laporan jawatankuasa siasatan turut mendapati nilai tanah yang terbabit dengan pertukaran itu diturunkan selepas pemaju memohon Menteri Pertahanan ketika itu supaya nilai tanah pertukaran dikurangkan kepada RM65 juta atas alasan kejatuhan mata wang dan kelembapan ekonomi pada tahun 1997/1998.


Bagaimanapun, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) menilai tanah terbabit sebanyak RM77 juta berasaskan nilaian kegunaan terbaik tertinggi atau RM68 juta jika berdasarkan kegunaan cadangan pemaju.


Sebaliknya, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menetapkan nilai tanah pertukaran sebanyak RM72.5 juta iaitu RM77 juta untuk kegunaan terbaik dan tertinggi serta RM68 juta mengikut cadangan pemaju, sekali gus menyebabkan nilai tanah itu berkurang sebanyak RM4.5 juta.


“Jawatankuasa siasatan mendapati penetapan nilai tanah sebanyak RM72.5 juta oleh EPU ini tidak mempunyai asas yang kukuh dan diragui,” kata laporan itu.

Jemaah Menteri pada Jun 2012 kemudian membuat keputusan menurunkan nilai tanah kepada RM87.5 juta berbanding harga nilaian JPPH sebanyak RM94 juta selepas mengambil kira nilai diluluskan kerajaan pada tahun 2001 dan 2003.


“Jawatankuasa berpendapat nilai baharu berasaskan penilaian tahun 2003 tidak mempunyai asas kerana projek dilaksanakan pada tahun 2011. Pengurangan nilai kepda RM87.5 juta tidak mempunyai asas kerana penilaian JPPH dikira mengikut nilaian tahun 2003.


“Jawatankuasa berpandangan pengurangan sebanyak RM6.45 juta adalah kerugian kepada kerajaan,” kata laporan itu.


Berdasarkan penemuan siasatan, jawatankuasa siasatan mengesyorkan KEMENTAH mengambil beberapa langkah untuk melindungi kepentingan kerajaan dalam projek berkenaan antaranya:


  • KEMENTAH perlu melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) memasukkan Kaveat Pendaftar bagi memelihara tiga tanah kerajaan di Kapar, Klang dan Bukit Raja, Petaling, Selangor yang terbabit dengan ‘land swap’ (pertukaran tanah).

  • Kaveat Pendaftar tidak akan dibatalkan sehingga syarikat pemaju memenuhi semua obligasi di dalam kontrak selain tindakan perundangan perlu diambil bagi menuntut ganti rugi daripada pemaju kerana lewat menyiapkan PUSPAHANAS.

  • KEMENTAH tidak boleh mengadakan sebarang perjanjian tambahan di antara kerajaan dan syarikat pemaju dilantik kerana dikhuatiri melupuskan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) dan melewatkan projek.

  • Kesemua LAD yang dikenakan kepada syarikat pemaju hendaklah dipungut dan tidak boleh dikecualikan serta KEMENTAH perlu melantik kontraktor penyelamat bagi menyiapkan projek jika pemaju dilantik gagal menyiapkan projek, dengan kos ditanggung pemaju sepenuhnya.


94 views
bottom of page