top of page

Kerajaan kekang kenaikan harga simen



KUALA LUMPUR: Kerajaan akan pastikan tidak berlaku kenaikan harga simen menerusi rundingan secara berterusan dengan peserta industri.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya akan memastikan usaha mengekalkan harga bahan asas pembinaan itu dilaksanakan selain menjaga kepentingan semua pihak.


Katanya semalam kementerian memanggil beberapa pihak industri untuk memberi peluang kepada mereka memberi penjelasan berkenaan keperluan menaikkan harga bahan mentah itu.


“Kita mengambil pengetahuan atas isu ini justeru sebelum mereka menulis surat, kami sudah memanggil pihak industri untuk mengadakan perbincangan.


“Kalau kenaikan harga ini berlaku ia akan turut menjejaskan hasrat kerajaan untuk membina satu juta rumah mampu milik buat rakyat. Justeru kita akan berusaha ke arah sasaran tiada kenaikan harga.


“Laporan awal yang saya terima dari pegawai, reaksi dari pihak industri adalah positif. Mengikut kefahaman saya tidak akan ada kenaikan harga simen.


“Bagaimanapun itu hanya sebahagian saja (pengeluar simen) jadi kita akan teruskan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pembangunan Industri Kewangan Malaysia (MIDF), di sini, hari ini.


Sebelum ini KPDNHEP sudah mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap 19 kilang pengeluar simen seluruh negara.


Notis itu dikeluarkan untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat terbabit berkenaan punca kenaikan harga simen yang mana ia harus dijawab dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikeluarkan.


Sementara itu, dalam perkembangan lain berhubung kad khas petrol subsidi bersasar, kerajaan akan memuktamadkan formula dalam masa terdekat ini.


“Bulan ini KPDNHEP dan Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan untuk memuktamadkan formula.


“Formula sudah dirangka ia semua ada dalam kertas pelaksanaan termasuk berapa ramai akan dapat dan bila.


“Selepas sebulan ini selesai ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.



28 views
bottom of page