Kerajaan kaji hukuman lebih berat


Gambar hiasan

KEMENTERIAN Sumber Manusia akan meminda Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (AKKP) 1994 supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas kontraktor yang mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja hingga membawa kepada kemalangan maut di tapak binaan.


Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, akta baru itu akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Julai ini.


Beliau berkata, syarikat pemaju dan kontraktor jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata hingga mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja ditapak binaan.


“Akta sedia ada memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 kepada mereka akan dinaikkan lebih tinggi selepas akta baru dikuatkuasakan.


“Kementerian melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sentiasa menekankan kepada penggiat industri mengamalkan budaya pengurusan keselamatan baik kerana ia penting untuk pencegahan kemalangan sektor pembinaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Keselamatan dan Kesihatan anjuran Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), di Kuala Lumpur, hari ini.


Turut hadir, Presiden MBAM Foo Chek Lee.


Mahfuz berkata, JKKP yang menjalankan operasi tapak pembinaan di seluruh negara selama sebulan bermula 25 Februari lalu memberi fokus kepada aktiviti berisiko tinggi seperti kerja tempat tinggi, kerja konkrit dan pematuhan kehendak perundangan.


“Sebanyak 486 pemeriksaan tapak bina dijalankan dan daripada jumlah itu, 867 kompaun serta 106 pendakwaan dikeluarkan semasa operasi berkenaan.


“JKKP memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Industri Pembinaan (OSHCIM) bagi memberi kesedaran bukan saja kepada kontraktor bahkan semua pengiat industri dari peringkat tuan punya projek, pihak perunding dan pemborong yang akan bertanggung jawab ke atas keselamatan serta kesihatan sesuatu projek dilaksanakan.


“Isu berkaitan OSHCIM akan ditentu, dikaji dan dikawal dari peringkat perancangan awal, reka bentuk, binaan, penyelenggaraan dan seterusnya hingga ke peringkat struktur itu di roboh,” katanya.


Menurutnya, banyak cabaran dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan kerana terdapat banyak projek membabitkan pembinaan bangunan tinggi, tempoh persiapan lebih singkat, waktu kerja lebih panjang, bilangan tapak pembinaan meningkat serta kesukaran bekerja di kawasan sesak.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #keselamatan #JKKP

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.