top of page

Kementerian Wilayah Persekutuan bina 10,000 rumah mampu milik



PUTRAJAYA: Sejumlah 10,000 unit kediaman mampu milik dikenali Residensi Prihatin akan dibangunkan Kementerian Wilayah Persekutuan mulai Jun tahun depan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata sasaran utama projek bertujuan membolehkan belia daripada golongan isi rumah B40 membeli kediaman pada usia muda.


Katanya, 6,000 unit kediaman untuk Residensi Prihatin akan dibina di Kuala Lumpur, manakala 3,000 lagi di Putrajaya dan baki 1,000 unit di Labuan.

"Pembinaan rumah ini akan menggunakan konsep modular dan pembinaan pintar berteraskan sistem bangunan berindustri (IBS) supaya proses pembinaannya lebh cepat dan berkualiti tinggi," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Baucer Jom Balik Sekolah Kepada Pelajar Sekolah dan Barangan Sudut Infaq Surau Putrajaya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Azmi Mohd Zain dan Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi.


Pada majlis itu, kementerian berkenaan dan PPj turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian berjumlah RM20,000 kepada 10 surau di Putrajaya.


Mengulas lanjut, Annuar berkata, kediaman ditawarkan kepada belia terbabit berharga RM200,000 ke bawah dengan pembiayaan ansuran kurang RM1,000 sebulan.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti beberapa tapak di Putrajaya iaitu tapak projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) yang terbatal dan boleh disambung serta diteruskan.

"Lokasi dikenal pasti di Putrajaya di Presint 14, 19, 7 dan 5 yang dijangka siap dalam masa tiga tahun bergantung kontraktor pembinaan."

"Golongan belia disaran membuat permohonan secara dalam talian melalui portal kementerian Wilayah Persekutuan bagi projek rumah mampu milik Residensi Prihatin," katanya.


33 views
bottom of page