top of page

Kementerian Komunikasi bincang projek 5G dengan MOF minggu depan


Kementerian Komunikasi bincang projek 5G dengan MOF minggu depan Malaysia Gazette www.malaysiagazette.com
Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil ketika bercakap pada sidang media khas selepas selesai mesyuarat pasca kabinet Kementerian Komunikasi Digital di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital memerlukan tempoh beberapa minggu untuk memastikan hala tuju pelaksaan projek rangkaian 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB).


Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, bagi tujuan itu satu pertemuan akan diadakan dengan Kementerian Kewangan (MOF) pada Isnin depan untuk berbincang, meneliti dan menilai arahan supaya semua perjanjian berhubung projek pelaksanaan 5G di seluruh negara disemak semula.


Katanya, ketika ini kerja-kerja pembangunan rangkaian itu telahpun mencapai tahap 36 peratus setakat 31 Oktober lalu.


“Perkara mengenai 5G itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi yang menyentuh supaya pertemuan diadakan bersama Digital Nasional Berhad (DNB) di bawah kawal selia MOF.


“Setakat 31 Oktober, DNB meneruskan pembangunan 5G, setakat ini sudah 2,750 kawasan untuk rangkaian terbabit sudah disiapkan.


“Kerajaan perpaduan tidak tangguh, kita teliti syarikat DNB namun projek tetap berjalan,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.


Fahmi berkata, pertemuan itu bagi membolehkan rundingan berkait aspek teknikal dan perundangan dapat dilakukan supaya isu ini dapat ditangani sebaiknya.


“Kita akan pastikan aspek pelaksanaan rangkaian 5G tidak terganggu dan pada masa mahu dipercepatkan kerana banyak negara lain aspek rangkaian 5G mereka sudah selesai, malah ada yang sudah memulakan 6G.


“Mungkin dalam beberapa minggu ini kita akan dapat pastikan serta putuskan hala tuju mengenai perkara ini,” katanya yang turut mengesahkan bahawa DNB tidak digantung.


Isnin lalu, kerajaan sudah mengarahkan supaya semua perjanjian berhubung projek pelaksanaan 5G di seluruh negara disemak semula.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan pelaksanaan perjanjian projek berkenaan tidak dilaksanakan secara telus.


Anwar sebelum ini pernah menggesa supaya isu berkaitan pelaksanaan 5G oleh DNB dibahaskan di Dewan Rakyat.


Beliau dilaporkan berkata, pelaksanaan inisiatif kerajaan itu perlu diperincikan bagi memastikan ketelusan daripada segi kos dan syarikat pelaksana pembangunan infrastruktur itu tidak dipertikai kelak.


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini, Datuk Zahidi Zainul Abidin, dilaporkan berkata, pelantikan DNB bagi pelaksanaan teknologi internet 5G di Malaysia diputuskan Kementerian Kewangan tanpa melalui perbincangan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terlebih dulu.


4 views

Comments


bottom of page