
KUALA LUMPUR: Isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembinaan dijangka mulai reda dengan kelulusan pengambilan pekerja asing, sekali gus membolehkan kontraktor bersedia untuk pelaksanaan projek mega.
AmInvestment Bank berkata, kekurangan tenaga kerja sebelum ini menyebabkan kontraktor terpaksa menangguhkan bidaan kerja tambahan berikutan risiko penalti atau tuntutan kerosakan yang timbul daripada kelewatan menyiapkan projek.
Kontraktor juga, katanya mungkin perlu membayar lebih untuk mendapatkan jaminan pekerja bagi mengekalkan tahap tenaga kerja yang optimum.
"Namun begitu, kami menjangkakan kekurangan tenaga kerja akan reda, membolehkan kontraktor mempersiapkan pelancaran projek infrastruktur mega.
"Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa pasaran tenaga kerja pulih pada kadar yang stabil pada suku ketiga 2022, dengan kadar pengangguran merosot kepada 3.7 peratus berbanding 4.7 peratus setahun lalu," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
AmInvestment Bank mendapati, Sunway Construction Group Bhd (SunCon) sudah mendapat kelulusan bagi mendapatkan 400 pekerja Indonesia, dengan 100 daripadanya akan tiba menjelang akhir tahun.
Bank pelaburan itu berkata, termasuk 100 pekerja asing sedia ada, tenaga kerja asing SunCon akan berjumlah 500.
"SunCon mempunyai jumlah pekerja asing yang besar iaitu sebanyak 800 orang semasa pembinaan MRT2 dan LRT3," katanya.
AmInvestment Bank, Kimlun pula sudah mendapat kelulusan untuk 737 pekerja asing pekerja, terdiri daripada Indonesia, Nepal dan Bangladesh, yang mana daripada jumlah itu, seramai 70 pekerja sudah tiba.
"Baki akan masuk secara berkumpulan menjelang Mac ke Apr 2023, yang akan membawa tenaga kerja asing SunCon kepada 1,000 (termasuk subkontraktor)," katanya.
Sementara itu, AmInvestment Bank percaya kerajaan akan menganugerahkan kontrak menerusi tender terbuka pada masa depan.
Ia berkata, keadaan itu akan mendorong kepada persaingan yang sengit memandangkan kontraktor perlu mengemukakan bidaan kompetitif untuk mendapat kerja.
Dalam masa sama, kontraktor yang lebih kecil terutama subkontraktor mungkin menghadapi pemampatan margin, katanya.
Dalam jangka terdekat, bank pelaburan itu menjangkakan berlaku penangguhan pemberian kontrak bagi projek-projek berkaitan kerajaan seperti MRT3.
"Sebagai contoh, MRT3 sepatutnya dianugerahkan pada Oktober 2022. Dengan perubahan kerajaan baru-baru ini, kami percaya bahawa pemberian pakej utama dan subkontrak mungkin ditangguhkan sehingga separuh kedua 2023.
"Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), kontrak dianugerahkan setakat November 2022 berjumlah RM118 bilion secara keseluruhan. Mengikut asas tahunan, jumlah ini tiga peratus lebih rendah daripada RM133 bilion yang dianugerahkan pada 2021," katanya.
Sumber: Berita Harian