top of page

Kemalangan maut di tempat kerja turun 8 peratus



KUALA LUMPUR: Prestasi Keselamatan dan Kesihatan (KKP) negara menunjukkan kadar kemalangan maut di tempat kerja mencatat penurunan sebanyak lapan peratus, tahun lalu.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata statistik itu bersamaan 3.83 bagi setiap 100,000 pekerja berbanding 4.14 bagi setiap 100,000 pekerja yang direkodkan, pada 2018.


"Bagi sektor pembinaan secara khususnya kadar kemalangan maut membabitkan pekerja menurun 16 peratus (11.28 bagi setiap 100,000 pekerja) berbanding 13.44 per 100,000 pekerja, pada 2018.


"Penurunan kadar kemalangan maut ini jelas menunjukkan majikan dan pekerja mulai sedar kepentingan memastikan tempat kerja mereka selamat serta sihat," katanya ketika berucap pada lawatan kerja di tapak projek Menara Merdeka 118, Stadium Merdeka, di sini, hari ini.



Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyenaraikan kemalangan maut itu membabitkan sektor pengilangan, perlombongan, pertanian, perhutanan, perikanan, kemudahan (gas, air, elektrik dan kebersihan), pengangkutan, penyimpanan, komunikasi dan pembinaan.


Saravanan berkata, kadar kemalangan di tempat kerja meningkat sebanyak 13 peratus (2.71 bagi setiap 1,000 pekerja) tahun lalu, berbanding 2.40 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2018.


Justeru, beliau berkata, peraturan khusus untuk menjadikan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 atau OSHCIM yang dibangunkan oleh JKKP sebagai mandatori sedang di peringkat akhir perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara.


"OSHCIM sebagai mekanisme pihak kerajaan dalam memastikan setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.


Garis panduan itu memberikan panduan praktikal untuk klien, pereka bentuk dan kontraktor mengenai aspek pengurusan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semasa merancang dan menjalankan projek pembinaan.


Jelasnya, sebanyak 10 projek perintis diiktiraf sebagai Projek Perintis OSHCIM iaitu membabitkan tiga projek kerajaan di bawah kawalan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tujuh lagi adalah projek swasta.


Sementara itu, Saravan berkata, dari sudut penguatkuasaan, JKKP menjalankan 301,635 pemeriksaan ke atas tempat kerja dan jentera pada tahun lalu.


Katanya, sebanyak 26,980 notis dikeluarkan, iaitu 1,481 kesalahan dikompaun manakala 421 kes didakwa di mahkamah.


Beliau berkata, penalti keseluruhan bagi tindakan kompaun dan pendakwaan bagi tempoh berkenaan adalah sebanyak RM8.05 juta.


Mengenai lawatan ke tapak projek Menara Merdeka 118, hari ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn, berkata kemajuan pembinaan menara itu yang dibangunkan PNB Merdeka Ventures kini 52.2 peratus siap, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2022.– BERNAMA



11 views
bottom of page