top of page

Kemajuan projek ECRL di empat negeri capai lebih 60 peratus


Kemajuan projek ECRL di empat negeri capai lebih 60 peratus
Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka siap mengikut jadual pada Disember 2026 -NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kemajuan projek ECRL di empat negeri capai lebih 60 peratus

KOTA BHARU: Kemajuan keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencapai 62.4 peratus setakat bulan lalu.


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pembinaan projek mega itu di Kelantan disifatkan paling mudah termasuk dalam urusan pengambilan tanah.


Katanya, sehingga kini segala urusan pengambilan tanah di Kelantan selesai sepenuhnya dan kerja-kerja pembinaan di negeri itu telah mencapai kemajuan 75.8 peratus setakat ini dengan keseluruhan jajaran sepanjang 43 kilometer.


"Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijangka siap mengikut jadual iaitu pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.


"Jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027," katanya pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di Kota Bharu, malam tadi.


Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin.


Mengulas lanjut, Darwis berkata pembinaan projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM50.27 bilion.


Katanya, jajaran ECRL turut membabitkan pembinaan 41 terowong sepanjang lebih 62 kilometer serta pembinaan jejambat sejauh 150 kilometer.


"Banyak cabaran yang kita lalui sepanjang projek berjalan terutama keadaan geografi selain pembinaan terowong yang banyak," katanya.


Ketika ditanya berhubung harga tiket yang akan dikenakan, Darwis memaklumkan perkara itu belum dibincangkan setakat ini.


"Harga tiket akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan dan saya yakin harga yang akan dikenakan adalah berpatutan," katanya.



Kemajuan projek ECRL di empat negeri capai lebih 60 peratus

bottom of page