Kuala Lumpur: Kelompangan dalam urus tadbir, selain ada kerjasama 'orang dalam' membuka ruang kepada kontraktor memalsukan dokumen demi mengaut tender bernilai tinggi.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Seri Halim Ishak berkata, pendedahan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung isu ini bukan sesuatu yang baharu dan mengejutkan.
Beliau berkata, hal sedemikian sebenarnya banyak berlaku dipelbagai peringkat dalam kerajaan sejak sekian lama.
Katanya, cuma yang membezakan adalah penipuan itu dalam dikesan atau sebaliknya untuk tindakan lanjut dikenakan terhadap mereka yang terbabit.
"Ketua Jabatan dan pegawai yang diberikan tanggungjawab menguruskan dokumen tender dan tuntutan perlu memastikan ia dibuat secara telus.
"Namun apabila ada pihak lihat ada loophole (kelompangan) maka mereka dengan mudah ambil kesempatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, peruntukan kerajaan boleh lesap jika tidak diurus dengan betul sudah pasti satu kerugian besar kepada rakyat.
Katanya, kerajaan perlu meneliti tata urus pengurusan tender selain memastikan integriti tinggi kakitangan yang bertugas.
"Rasuah bukan masalah baharu dalam negara ini dan ia sebenarnya boleh berlaku di semua peringkat jika ada ruang dan peluang," katanya.
Seramai 19 kontraktor ditahan SPRM Sabah kerana dipercayai mengemukakan penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Menurut sumber, penyata bank palsu itu dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa sekolah di seluruh Sabah.
Sumber: Harian Metro
Comments