top of page

Kelantan tubuh jawatankuasa koordinator projek ECRL


GAMBAR hiasan.

KOTA BHARU: Majlis Mesyuarat kerajaan negeri bersetuju cadangan penubuhan Jawatankuasa Koordinator Kerja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan.


EXCO Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Azami Mohd Nor, berkata tujuan penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi memantau pengendalian kontrak ECRL di Kelantan untuk kuota 40 peratus kontraktor tempatan.


"Skop dan bidang kuasa Jawatankuasa Koordinator Kerja Projek ECRL Kelantan adalah menyelaras agihan kontrak kerja ECRL untuk kuota 40 peratus kontraktor tempatan.


"Mereka juga akan membuat pemilihan kontraktor tempatan bagi kerja-kerja ECRL berdasarkan kepada tatacara pengurusan kewangan yang betul.


"Selain itu ia bertanggungjawab meneliti dan mengesahkan cadangan pembekal dan kontraktor yang akan melaksanakan kerja kontrak ECRL di Kelantan.


"Mereka juga akan mengangkat isu tidak selesai kepada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Negeri Kelantan dan Utiliti Projek ECRL Negeri Kelantan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Abdul Aziz Kadir (PAS-Jelawat) mengenai laluan terkini keretapi laju ECRL di negeri ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.


Azami berkata, sebanyak 1,561 lot yang bakal terbabit dengan kawasan laluan keretapi di tiga daerah iaitu Kota Bharu, Machang dan Pasir Puteh.


"Buat masa ini, hanya dua stesen yang bakal dibina di Kelantan iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh," katanya.



11 views
bottom of page