top of page

Kelantan minta kapasiti air 2,000 juta liter sehari melebihi keperluan


Kelantan minta kapasiti air 2,000 juta liter sehari melebihi keperluan
Gambar hiasan: Air Kelantan

Kelantan minta kapasiti air 2,000 juta liter sehari melebihi keperluan

PELABUHAN KLANG: Penambahan kapasiti air sehingga mencecah 2,000 juta liter sehari (JLH) yang diminta Kerajaan Kelantan melebihi keperluan semasa negeri berkenaan.


Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata itu antara permintaan Kelantan ketika pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu bekalan air di negeri itu.


"Antara beberapa perkara dimaklumkan ialah Kelantan mahu kapasiti air yang sangat besar daripada 500 JLH kepada 2,000 JLH, sedangkan keperluan di negeri itu tidak begitu besar sangat.


"Sebab itu, kosnya jadi RM8 bilion. Jadi, kita hendak tengok (permintaan) apa yang mustahak, apa yang perlu. Pada masa sama, kena seiring dengan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) bagi mengatasi masalah Air Tidak Terhasil (NRW).


"Kalau bina LRA tetapi jika banyak bocor, air tidak akan sampai kepada pengguna," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Kerjasama Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI) bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jaringan Malaysia dan Brunei, di sini, hari ini.


Nik Nazmi berkata, Kerajaan Persekutuan juga sedia membantu dari sudut pematuhan undang-undang dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan dan Sabah.


"Di Semenanjung kita terikat dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WASIA) di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kalau di peringkat Sabah ia kuasa kerajaan negeri, tetapi yang Perdana Menteri tekankan ialah kita ada tanggungjawab untuk bantu Sabah.


"Jadi, semua itu sedang dalam proses dan kita lihat bagaimana cara terbaik, apa keutamaan projek yang mungkin boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan secara tuntas masalah air di kedua-dua negeri," katanya.


Sementara itu, ditanya gesaan Rimbawatch terhadap Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya membatalkan kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi jalan yang melalui Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah di Pahang, beliau berkata, pihaknya sudah meminta JAS dan Jabatan PERHILITAN memberi taklimat pada awal minggu depan berhubung perkara itu.


"Taklimat itu bagi membolehkan saya melihat sendiri kronologi dan latar belakang EIA bagi projek berkenaan..Saya perlu semak balik," katanya.


Sumber: Berita Harian


Kelantan minta kapasiti air 2,000 juta liter sehari melebihi keperluan


bottom of page